Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Ihsan Laksamana College of Business
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Ogos. - Seramai 526 graduan diraikan pada Majlis Graduasi 2026 Laksamana College of Business (LCB) yang diadakan di The Rizqun International Hotel.
Majlis ini adalah bagi meraikan pencapaian akademik yang membanggakan yang diraih oleh para graduan.
Bagi program University of Essex pada tahun ini, seramai 102 graduan menamatkan pengajian dalam bidang Accounting and Finance, Computer Science, International Tourism Management, Marketing, Business Management dan Law.
Daripada jumlah tersebut, seramai 11 graduan berjaya memperoleh First Class Honours.
Majlis graduasi berkenaan turut diserikan dengan keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Amal Jefriah binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.
Tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti beberapa ucapan, antaranya daripada Pengarah dan Pengetua LCB dan KCB, Ian Pirie; Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Ken O'Flaherty; serta Timbalan Dekan Essex Business School, University of Essex, United Kingdom, Professor Mehmet Demirbag.
Naib Canselor University of Essex, Professor Frances Bowen, turut menyampaikan ucapan melalui rakaman video.
Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil kepada graduan Program Ijazah dan Asasi oleh tetamu kehormat.
Graduan Program Ijazah yang memperoleh keputusan Summa Cum Laude turut berpeluang menyampaikan ucapan sebelum majlis berehat seketika.
Sesi seterusnya menyaksikan penyampaian sijil kepada graduan Program KCB, BTEC dan City & Guilds, diikuti ucapan daripada graduan program berkenaan yang memperoleh Summa Cum Laude.
Turut berlangsung ialah penyampaian Anugerah Duta Besar China oleh Duta Besar Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati penghargaan kepada tetamu kehormat oleh Pengarah Abdul Razak Holdings dan Laksamana College of Business, Awang Haji Suhaimei bin Haji Awang Besar sebelum para tetamu menikmati jamuan ringan.