Lebih 100 belia terokai pembiayaan Bank Usahawan

25 Okt 2026 - 6:16am

Siaran Akhbar dan Foto : Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Oktober. - Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) baru-baru ini menganjurkan Bank Usahawan bagi Siri Libat Urus yang ke-9, dengan menghimpunkan lebih daripada 100 belia tempatan untuk mempelajari aspek pembiayaan dan sokongan bagi perniagaan peringkat awal.

Acara yang berlangsung di Auditorium Utama, Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi (Design & Technology Building) itu mengetengahkan BizBelia, produk pembiayaan Bank Usahawan yang menawarkan kadar keuntungan terendah, di samping perkongsian pengalaman daripada usahawan muda yang telah mendapat manfaat daripada pembiayaan berkenaan.

Siri Libat Urus BEDB itu merupakan inisiatif jangkauan yang menghubungkan usahawan tempatan dengan institusi berkaitan, pemain industri dan penyedia sokongan perniagaan bagi meningkatkan kesedaran mengenai sumber dan peluang yang tersedia.

BizBelia menawarkan pembiayaan sehingga BND5,000 bagi tempoh 24 bulan untuk pembelian peralatan, inventori, pemasaran, pengubahsuaian premis dan keperluan perniagaan yang lain. Permohonan yang lengkap akan diproses dalam tempoh kurang daripada dua minggu.

“Kami sentiasa memberikan sokongan dan bimbingan kepada para pemohon. Bagi usahawan muda yang menghadapi kesukaran memahami keperluan permohonan, kami akan bekerjasama dengan mereka untuk menyediakan cadangan perniagaan yang lebih kukuh, dan bukannya terus menolak permohonan mereka,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Bank Usahawan, Dato Seri Paduka Haji Mohd. Roselan Haji Mohd. Daud.

Beliau menambah, sokongan berterusan diberikan selepas pembiayaan diluluskan melalui Program Bimbingan Perniagaan bank, yang memantau perkembangan perniagaan serta menghubungkan usahawan dengan agensi seperti BEDB bagi mendapatkan sokongan lanjut. Para penerima juga berpeluang mengakses pembiayaan yang lebih besar seiring dengan perkembangan perniagaan mereka.

Sesi tersebut turut menampilkan tiga penerima pembiayaan BizBelia, iaitu WeNature Company, Sua (By Sebancuh) dan Mase Company, yang berkongsi pengalaman tentang bagaimana pembiayaan berkenaan membantu memulakan perniagaan mereka.

Pengasas Sua, Muhammad Iqbaal Syakib Haji Suhib, menyatakan bahawa pembiayaan BizBelia dan program Micro Bootcamp BEDB telah menyediakan modal serta asas pengetahuan perniagaan yang diperlukan untuk melancarkan rangkaian produk pertamanya, iaitu gelas ‘tumbler’, yang diperkenalkan buat pertama kali di Festival MSME Brunei anjuran BEDB.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai Siri Libat Urus yang akan datang, orang ramai boleh mengikuti akaun Instagram ‘@bedbbrunei’, melayari laman sesawang ‘www.bedb.gov.bn’ atau menghubungi Meja Bantuan Perniagaan BEDB di talian +673 8363442 / +673 8330520.