Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami
TUTONG, Sabtu, 24 Oktober. - Sebagai hasrat murni untuk terus mengeratkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Takmir dan Muslimah serta jemaah masjid, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong (MHBPT) hari ini menerima lawatan daripada rombongan ‘Kembara Mahabbah’ Masjid Omar ‘Ali Saifuddien (MOAS).
Rombongan yang terdiri daripada seramai 30 orang Ahli Jawatankuasa Takmir, Kumpulan Muslimah dan jemaah MOAS itu diketuai oleh Pegawai Masjid, MOAS, Begawan Mudim Haji Amran bin Haji Mohd. Salleh.
Mengalu-alukan kedatangan rombongan berkenaan ialah Imam MHBPT, Awang Sahibul Omar bin Haji Yusof serta Ahli-ahli Jawatankuasa Takmir, Kumpulan Muslimah dan Ibadurrahman Belia dan Beliawanis MHBPT.
Dalam pada itu, lawatan berkenaan juga bertujuan untuk mengenali MHBPT dengan lebih dekat khususnya sejarah perjalanan serta perkembangan MHBPT yang telah mencapai usia 60 tahun dan menyambut Jubli Intan pada 26 Ogos 2026.
Dalam ucapan alu-aluan, Awang Sahibul Omar antaranya menyatakan bahawa program seumpama ini merupakan satu landasan bagi kedua belah pihak berinteraksi dan saling berkongsi serta bertukar-tukar fikiran mengenai usaha-usaha berterusan ke arah mengimarahkan masjid.
Antara pengisian lawatan ialah taklimat ringkas mengenai latar belakang, struktur organisasi pentadbiran dan peranan jawatankuasa takmir masjid serta kemudahan yang disediakan di MHBPT telah disampaikan oleh Awang Abd. Hafidz bin Haji Kadirosman selaku Pelapis Bilal MHBPT.
Di samping itu, para rombongan juga berpeluang meninjau dan melihat Pameran MHBPT mengenai Perancangan Strategik 2026-2030, inisiatif-inisiatif dan aktiviti Jawatankuasa Takmir, Kumpulan Muslimah dan Belia Ibadurrahman, Bahagian Lajnah Pendidikan.
Begitu juga inisiatif kesukarelawanan seperti ‘Sahabat Masjid’ yang menguruskan kebersihan tandas dan ‘Taman Harmoni’ iaitu yang bertanggungjawab dalam pengurusan landskap dan taman MHBPT juga telah menarik perhatian para rombongan.
Sementara itu, Kumpulan Muslimah MHBPT juga mengongsikan maklumat mengenai Kelas Bimbingan Muslimah dan Kelas Mingguan Al-Quran MHBPT, Belia Ibadurrahman pula mengongsikan ‘Porta Cabin’ Belia, aktiviti dan program yang dilaksanakan sebagai usaha untuk mengimarahkan masjid dan menjadikannya sebagai pusat komuniti belia. Koleksi gambar dan keratan akhbar semasa Sambutan Jubli Intan MHBPT telah dikongsikan oleh Bahagian Perhubungan Awam dan Lawatan.
Sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan mengenai beberapa perkara seperti usaha ke arah mengajak dan menggalakkan lebih ramai belia untuk mencintai dan mendekati masjid, memupuk kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara kesucian masjid termasuk memelihara kebersihan tandas secara berterusan untuk menyemarakkan suasana lawatan tersebut.
Program Kembara Mahabbah MOAS diakhiri dengan penyampaian cenderahati kenang-kenangan kepada Ketua Rombongan yang disempurnakan oleh Awang Sahibul Omar. Lawatan Kembara Mahabbah merupakan kunjungan balas pihak MOAS kepada pihak MHBPT yang telah membuat Lawatan Persahabatan ke MOAS pada Disember 2024.