10 pemindahan hati daripada penderma hidup berjaya dilaksanakan

25 Okt 2026 - 7:04am

Siaran Akhbar dan Foto : Jerudong Park Medical Centre

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Oktober. - Program Pemindahan Hati Negara Brunei Darussalam (NBD) yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jerudong Park Medical Centre (JPMC) telah berjaya melaksanakan 10 pemindahan hati daripada penderma hidup, sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan perkhidmatan penjagaan kesihatan khusus di negara ini.

Perkembangan program berkenaan diketengahkan dalam sesi media Program Pemindahan Hati yang menghimpunkan para pemimpin penjagaan kesihatan dan pakar klinikal bagi berkongsi pengalaman mengenai kerjasama, kepakaran klinikal serta penjagaan pelbagai disiplin yang menyokong pelaksanaan perkhidmatan pemindahan hati di NBD.

Ditubuhkan pada Februari 2025, program berkenaan menggabungkan kepakaran klinikal, kemudahan dan penyelarasan penjagaan yang diperlukan bagi menyokong keseluruhan proses pemindahan hati, bermula daripada penilaian penerima dan penderma, pembedahan, penjagaan selepas pembedahan sehinggalah kepada pemantauan susulan secara berterusan.

Dalam kenyataannya, Ketua Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr. Haji Md. Khalifah bin Pengiran Haji Ismail, menyatakan bahawa pembangunan program pemindahan hati berkenaan mencerminkan nilai kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan JPMC serta pasukan pakar yang terlibat dalam membolehkan para profesional kesihatan tempatan menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan penjagaan khusus bertaraf tinggi di dalam negara, di samping membantu pesakit yang bersesuaian mendapatkan rawatan lebih dekat dengan tempat tinggal mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa keutamaan program berkenaan adalah untuk membangunkan keupayaan secara bertanggungjawab, dengan kebajikan pesakit dan penderma sentiasa menjadi keutamaan.

Program berkenaan memanfaatkan kepakaran daripada pelbagai bidang, termasuk pembedahan, hepatologi, anestesia, rawatan rapi, radiologi, patologi, penyakit berjangkit, farmasi, kejururawatan dan perkhidmatan kesihatan bersekutu.

JPMC menyokong pelaksanaan program berkenaan melalui kemudahan, perkhidmatan klinikal dan pasukan pelbagai disiplin, dengan kerjasama rakan sekerja daripada Kementerian Kesihatan serta pakar pelawat.

Pakar klinikal tempatan juga memainkan peranan aktif dalam pasukan pembedahan. Pakar bedah pemindahan hati, Visiting Consultant Hepatobiliary and Liver Transplant Surgeon, Dr. P Balachandran Menon, bersama pasukannya bekerjasama dengan pasukan pembedahan tempatan yang turut melibatkan Consultant General Surgeon, Dr. Amy Thien.

Kerjasama berkenaan menyumbang kepada pembangunan kepakaran pembedahan tempatan melalui amalan klinikal bersama.

Dr. P Balachandran Menon berkata, Dr. Amy Thien merupakan anggota pasukan pembedahan yang dihargai, dan sumbangan beliau mencerminkan kepakaran yang dimiliki oleh para doktor NBD dalam program berkenaan.

Beliau juga menjelaskan bahawa pemindahan hati memerlukan kerjasama erat antara pelbagai disiplin, dan usaha bersama berkenaan dapat memperkukuh pengalaman kolektif yang diperlukan bagi membangunkan serta mengekalkan perkhidmatan pemindahan hati di NBD.

Penglibatan profesional penjagaan kesihatan tempatan merangkumi keseluruhan proses pemindahan hati, daripada peringkat penilaian dan persediaan hinggalah kepada penjagaan selepas pembedahan serta pemantauan susulan.

Pendekatan pelbagai disiplin berkenaan menyediakan peluang untuk membina pengalaman klinikal tempatan, di samping memperkukuh sistem dan penyelarasan yang diperlukan bagi menyampaikan perkhidmatan khusus yang kompleks.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Perubatan JPMC, Pengiran Dr. Hajah Siti Nur'Ashikin binti Pengiran Dato Paduka Haji Tengah pula berkata program pemindahan hati memerlukan penilaian yang teliti, penyelarasan rapat antara pasukan serta pemantauan susulan berterusan bagi penerima dan penderma.

Beliau turut menekankan bahawa membantu pesakit dan keluarga memahami setiap peringkat proses berkenaan merupakan aspek penting dalam membina keyakinan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan yang tersedia di NBD.

Bagi pesakit yang memenuhi kriteria pemilihan serta keluarga mereka, akses kepada perkhidmatan pemindahan hati di NBD membolehkan rawatan diterima lebih dekat dengan tempat tinggal dan rangkaian sokongan mereka.

Akses kepada rawatan di dalam negara juga dapat mengurangkan beban praktikal yang berkaitan dengan rawatan di luar negara, termasuk kos perjalanan dan penginapan serta tempoh yang panjang berjauhan daripada keluarga dan rumah.

Program berkenaan kini sedang membuat persediaan bagi pemindahan hati yang ke-11, yang dijadualkan pada 25 Oktober 2026, tertakluk kepada penilaian klinikal akhir.

Seiring dengan perkembangan program berkenaan, tumpuan akan terus diberikan kepada pengukuhan kepakaran tempatan, pemantapan kerjasama antara pasukan pelbagai disiplin serta pengekalan mutu, keselamatan dan kesinambungan penjagaan bagi kedua-dua penerima dan penderma.