Siaran Akhbar dan Infografik : Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri
BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 9 November. - Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (KEPI) melalui Unit Sukatan dan Timbangan (SDT) melancarkan Kempen Kesedaran ‘Sukatan Tepat, Perniagaan Adil’ (Measure right, Trade fair) bermula 9 November 2026.
Kempen ini bertujuan untuk memastikan setiap alat timbangan dan sukatan yang digunakan untuk berniaga di Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah tepat dan disahkan selaras dengan Akta Timbangan dan Sukatan (Penggal 151).
Sukatan yang tepat membantu melindungi pengguna daripada amalan perniagaan yang tidak adil dengan memastikan pengguna membayar mengikut kuantiti sebenar barangan yang diterima.
Di samping itu, sukatan yang tepat juga akan menyumbang kepada persaingan yang adil di kalangan peniaga, serta memelihara nilai transaksi dalam sektor industri dan eksport negara.
Peraturan-peraturan Timbangan dan Sukatan (Pengesahan), 1994 di bawah Akta Timbangan dan Sukatan (Penggal 151) menggariskan bahawa setiap alat timbangan dan sukatan yang digunakan bagi tujuan perdagangan hendaklah disahkan dan dicap oleh pemeriksa Unit SDT di KEPI.
Alat-alat tersebut, yang digunakan di kedai, tamu, stesen minyak dan sektor industri, termasuk neraca spring sehingga 200kg; dacing emas; alat sukat panjang; batu timbang dan pemberat ujian; pam minyak; alat sukat cecair; neraca atau penimbang elektronik sehingga 200kg; meter aliran dan mesin penimbang lain, termasuk jambatan timbang (weighbridges).
Sempena Kempen Kesedaran ‘Sukatan Tepat, Perniagaan Adil’, para peniaga dan syarikat dari pelbagai sektor, termasuk sektor runcit, pembuatan, pembinaan, pengangkutan dan industri lain berkaitan yang menggunakan alat timbangan dan sukatan bagi tujuan perdagangan diperlukan untuk mengisytiharkan alat-alat tersebut sebelum 1 Januari 2027.
Pengisytiharan boleh dibuat melalui borang pengisytiharan kendiri yang boleh diakses secara dalam talian melalui Kod QR di dalam poster kempen serta akaun Instagram rasmi KEPI ‘@meti_brunei’, melalui e-mel ‘sdt@meti.gov.bn’ atau di Kaunter Unit SDT.
Unit SDT juga akan menjalankan lawatan pemeriksaan secara berperingkat ke premis perniagaan dan kawasan-kawasan terlibat di semua sektor, serta mengadakan sesi taklimat bersama persatuan perniagaan dan industri.
Orang ramai yang mempunyai keraguan mengenai ketepatan alat timbangan atau sukatan di mana-mana premis perniagaan boleh menyalurkan aduan kepada Unit Sukatan dan Timbangan melalui e-mel ‘sdt@meti.gov.bn’.
Orang ramai dan peniaga diingatkan bahawa di bawah Peraturan 3(2), Peraturan-peraturan Timbangan dan Sukatan (Pengesahan), 1994 (Penggal 151, Rg 1), adalah menjadi satu kesalahan untuk menggunakan atau menyimpan sebarang alat timbangan dan sukatan yang tidak dicap bagi tujuan perdagangan.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda sebanyak BND1,000, penjara selama tiga bulan atau kedua-duanya. Alat tersebut juga boleh disita dan sebarang kontrak, tawar-menawar, jualan atau urusan yang dibuat menggunakan alat tersebut adalah tidak sah.
Di samping itu, di bawah seksyen 11, Akta Timbangan dan Sukatan (Penggal 151), menggunakan atau menyimpan untuk kegunaan dagangan sebarang alat timbangan atau sukatan yang palsu atau tidak tepat adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak BND1,000 dan penjara selama enam bulan dan alat tersebut boleh disita.