Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Oktober. – Fakulti Bahasa Arab (FBA), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Pembubaran Badan Pelajar Sesi 2025/2026 dan Pelantikan Baharu Badan Pelajar Sesi 2026/2027 serta Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Dekan bagi Sesi Pengajian 2025/2026 yang turut diselajurkan dengan Majlis Takreem al-Mu'allim bertempat di Auditorium UNISSA.
Majlis berkenaan dihadiri oleh Pemangku Dekan Fakulti Bahasa Arab, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Abdullah selaku tetamu kehormat yang turut menyampaikan ucapan amanat kepada para mahasiswa dan mahasiswi sebagai panduan dalam melaksanakan tanggungjawab serta meningkatkan komitmen terhadap kepimpinan, kecemerlangan akademik dan pembangunan diri.
Majlis turut diisikan dengan ucapan daripada Pengerusi Badan Pelajar Fakulti Bahasa Arab (BPFBA) Sesi 2026/2027, Awang Ahmad Amsyar Arif bin Ahmad Sukri.
Dalam ucapannya, Awang Ahmad Amsyar Arif menyampaikan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan serta menekankan kepentingan kerjasama, komitmen dan tanggungjawab dalam menggalas amanah kepimpinan.
Beliau turut berharap agar barisan kepimpinan baharu dapat bekerjasama dalam menjaga kebajikan mahasiswa dan mahasiswi serta menyumbang secara aktif kepada pembangunan FBA.
Majlis Pembubaran dan Pelantikan BPFBA diadakan bagi menandakan berakhirnya tempoh kepimpinan BPFBA Sesi 2025/2026 serta pelantikan barisan kepimpinan baharu bagi Sesi 2026/2027.
Peralihan kepimpinan berkenaan mencerminkan kesinambungan amanah dan tanggungjawab mahasiswa dalam menyumbang kepada kebajikan serta pembangunan warga FBA.
Majlis turut meraikan kecemerlangan akademik mahasiswa dan mahasiswi melalui penyampaian Anugerah Dekan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka.
Sementara itu, Takreem al-Mu'allim diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para pensyarah atas jasa, dedikasi dan komitmen dalam mendidik serta membimbing mahasiswa.
Penganjuran majlis berkenaan diharap dapat memperkukuh silaturahim antara warga fakulti, menyemai nilai kepimpinan yang bertanggungjawab serta memupuk budaya kecemerlangan akademik dan penghargaan terhadap jasa para pendidik.
Majlis berkenaan mencerminkan komitmen FBA dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berakhlak mulia, berintegriti dan bersedia memikul amanah kepimpinan demi kemajuan ummah.