Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
TEMBURONG, Sabtu, 22 Ogos. – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya meneruskan lagi Majlis Dikir sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam 1448 Hijrah / 2026 Masihi ke Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, hari ini dalam menyemai semangat kecintaan terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Hadir selaku tetamu khas majlis, Setiausaha Tetap di JPM, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Zalani bin Haji Ismail yang juga mengetuai rombongan berkenaan.
Terdahulu, penyerahan sumbangan wakaf disempurnakan oleh Dato Paduka Awang Haji Mohd. Zalani kepada masjid berkenaan yang diterima oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Syahmi bin Haji Zaini sebagai antara usaha menyemarakkan amal kebajikan dan kegunaan masjid.
Sejurus pukul 6.31 petang, Azan Maghrib berkumandang diikuti menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Awang Muhammad Syahmi dan seterusnya majlis dimulakan dengan bacaan Ummul Kitab Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh tetamu khas majlis.
Suasana masjid kemudiannya bergema dengan alunan Dikir Syarafil Anam yang dimulakan dengan Assalamualaika oleh rombongan dan jemaah masjid berkenaan.
Majlis terus diimarahkan dengan Dikir Marhaban yang menghidupkan suasana penuh rasa kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Sementara Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Imam Tingkat III masjid berkenaan, Awang Norezam bin Zaini yang juga mengimamkan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.
Penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya dalam menyemarakkan syiar Islam, di samping menyuburkan rasa kasih dan penghormatan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam kalangan warga Perkhidmatan Awam.
Pada tahun ini, Majlis Dikir berkenaan dianjurkan bersama oleh Pejabat Wawasan Brunei, JPM selaku Pengerusi Majlis, dengan kerjasama Biro Mencegah Rasuah dan Jabatan Kehakiman Negara.