Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Ihsan Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei
TEMBURONG, Rabu, 11 November. - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Sultan Hassan (SMSH), Bangar dengan kerjasama Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (BBCSG) telah menganjurkan Majlis Jerayawara Kesedaran Kanser Payudara bertempat di SMSH, Bangar, hari ini.
Penganjuran majlis berkenaan antaranya bertujuan untuk terus membarigakan, mendedahkan dan mempertingkatkan betapa pentingnya kesedaran kanser payudara dalam kalangan kaum wanita dan ahli keluarga serta masyarakat di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Antara yang hadir sepanjang majlis berlangsung ialah Timbalan Pengetua Akademik, SMSH, Vivian Leong Hui Vun; Timbalan Pengerusi PIBG SMSH, Dayang Rumaizah binti Haji Mumin; dan Presiden BBCSG, Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin.
Sehubungan itu, Dayang Hajah Aminah dalam ucapan antaranya merakamkan jiwa kesyukuran dengan adanya detik perhimpunan BBCSG seumpama ini merupakan buat julung kalinya dilaratkan di Daerah Temburong sejak mula diadakan pada tahun 2017.
Beliau turut berkata, program seumpama ini sememangnya berkaitan dengan tujuan dasar penubuhan BBCSG iaitu untuk melaksanakan tanggungjawab khususnya untuk menyokong secara berterusan kepada pesakit-pesakit yang telah sembuh atau yang masih lagi menjalani rawatan dan tidak dilupakan juga kepada mereka yang telah kembali ke rahmatullah.
Dayang Hajah Aminah juga antaranya menjelaskan dengan adanya majlis seumpama ini, ia akan dapat mengingatkan kepada para pesakit, golongan ‘survivor’ kanser dan kita semua untuk terus menjaga kesihatan, baik melalui pengambilan pemakanan, kehidupan dan persekitaran yang lebih selesa demi kesejahteraan dan keharmonian hidup. Majlis ini juga dapat menjalin hubungan kekeluargaan dan masyarakat dengan penuh mesra dan harmoni kepada para pesakit kanser melalui kegiatan-kegiatan sihat yang boleh menceriakan hidup mereka dan jangan membiarkan mereka hidup bersendirian.
Presiden BBCSG dalam ucapannya turut berharap semoga dengan adanya majlis seperti ini akan dapat memberi kesedaran kepada setiap keluarga dan masyarakat di negara ini tentang mustahaknya mengambil peranan dan memahami situasi sekarang bahawa kanser payudara merupakan kanser paling kerap berlaku dan menjadi punca utama kematian dalam kalangan wanita bukan hanya di negara ini tetapi juga di seluruh dunia. Sayugia juga, beliau juga terus mengingatkan bersama agar terus sentiasa menjaga kesihatan payudara yang maksimal dengan melakukan pemeriksaan sendiri dan juga buat mamogram seperti yang disarankan oleh doktor.
Antara pengisian majlis ialah ceramah kesihatan yang disampaikan oleh Pakar Perubatan Onkologi, The Brunei Cancer Centre, Dr. Raden Mas Jeffri bin Raden Mas Ismail; dan juga perkongsian pengalaman daripada golongan ‘survivor’ kanser. Aktiviti kuiz interaktif juga menjadi salah satu pengisian menarik di majlis tersebut.
Juga hadir, Timbalan Presiden BBCSG, Dayang Hajah Linda Aini binti Abdullah; dan Setiausaha Agung BBCSG, Datin Ratu Hajah Dayang Jaliha binti PHH Momin; Bendahari BBCSG, Profesor Madya Dr. Hajah Masrinawati binti Haji Abdul Hamid; Timbalan Bendahari BBCSG, Dayang Hajah Jainah binti Haji Musa; Ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir BBCSG, golongan ‘survivor’ kanser, guru-guru dan kakitangan SMSH Bangar, rakan-rakan dari DKSH Brunei iaitu syarikat penyedia perkhidmatan pergudangan dan pengedaran terkemuka bagi produk farmaseutikal dan peranti perubatan, serta para jemputan khas.