Dikir Maulud terus bergema, semarakkan cinta Rasulullah

22 Og 2026 - 9:35am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi 

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 21 Ogos. - Ruang Istana Nurul Iman terus bergema dengan alunan selawat dan puji-pujian ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menerusi Majlis Dikir 12 Malam Berturut-Turut yang diadakan sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Tahun 1448 Hijrah.

Majlis yang menjadi antara pengisian utama dalam memperingati hari kelahiran Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam itu menyaksikan penyertaan pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan kerajaan, institusi pendidikan serta agensi lainnya bersama-sama mengimarahkan malam-malam Maulud dengan laungan selawat, zikir dan puji-pujian penuh penghayatan.

Hadir pada majlis yang berlangsung di Surau Istana Nurul Iman, di sini ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Sejurus selesai menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Al-Quran yang dibacakan oleh Pegawai Pendidikan Ugama - PGU 3 (Tenaga Pengajar), Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) Bolkiah Garrison, Kementerian Pertahanan, Awang Haji Nor Asilin Awang Haji Putting.

Setelah itu, Pegawai Perkembangan Ugama, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Awang Haji Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi dalam tazkirahnya antara lain menerangkan mengenai menyemai rasa cinta terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bukan sekadar melalui ungkapan selawat dan pujian, malah dapat diterapkan dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan sunnah Baginda, termasuk dalam adab ketika makan dan minum.

Tazkirah bertajuk 'Menyemai Cinta Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui Memohon Barakah dalam Setiap Rezeki' bagi malam kesembilan itu, Awang Haji Ahmad Muzhafar mengetengahkan zikir makan dan minum sebagai antara amalan mudah yang wajar dibiasakan oleh setiap Muslim bagi memohon keberkatan terhadap rezeki yang dikurniakan Allah Subhanahu Wata'ala.

Antara doa yang dianjurkan ketika makanan hendak dihidangkan ialah "Allahumma Barik Lana Fima Razaqtana, Wa Qina 'Azaban Nar, Bismillah", yang bermaksud : "Ya Allah, berkatilah kami pada apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan lindungilah kami daripada api neraka. Dengan nama Allah".

Awang Haji Ahmad Muzhafar turut menjelaskan bahawa membaca Bismillah sebelum makan dan minum merupakan antara sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang wajar diamalkan. Lafaz yang paling sempurna ialah Bismillahirrahmanirrahim, manakala memadai dengan menyebut Bismillah bagi melaksanakan sunnah tersebut.

Dalam pada itu, tazkirah turut menekankan kepentingan menjaga adab terhadap makanan dengan tidak menghina atau mencela makanan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak pernah menghina makanan. Jika Baginda menyukai sesuatu makanan, Baginda akan memakannya, manakala jika tidak menyukainya, Baginda memilih untuk meninggalkannya tanpa mencela makanan tersebut.

Tazkirah tersebut turut mengingatkan bahawa adab makan dan minum yang diajarkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan amalan kecil yang mempunyai nilai besar dalam membentuk akhlak seorang Muslim.

Sementara di ruang lain bagi jemputan perempuan pula juga dimeriahkan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Dayang Rossne binti Abdul Rahman yang menerangkan, kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bukan sekadar dizahirkan melalui ungkapan, sebaliknya perlu dibuktikan dengan memahami sirah dan ajaran Baginda, menghidupkan sunnah serta mengamalkan doa-doa yang diajarkan oleh Baginda dalam kehidupan seharian.

Dalam tazkirah tersebut, Dayang Rossne menjelaskan bahawa antara cara menyemai kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam adalah dengan mempelajari, menghafal dan mengamalkan doa-doa yang diajarkan oleh Baginda, seterusnya menjadikannya sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan.

Beliau turut mengingatkan mengenai sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud, "Sesiapa yang mahu Allah kabulkan doanya waktu ditimpa kesusahan atau kesulitan, maka hendaklah ia memperbanyakkan doanya sewaktu ia senang". (Hadis riwayat at-Tirmizi).

Sehubungan itu, umat Islam diseru supaya menilai kembali doa yang dipanjatkan kepada Allah Subhanahu Wata'ala, khususnya dalam memohon rezeki, sama ada sekadar meminta rezeki yang banyak atau lebih utama memohon rezeki yang berkat.

Dalam pada itu, umat Islam dianjurkan mengamalkan doa yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berkaitan keberkatan rezeki yang bermaksud : "Ya Allah, berkatilah kami pada apa yang Engkau rezekikan kepada kami dan lindungilah kami daripada api neraka. Dengan nama Allah".

Tazkirah turut menekankan bahawa keberkatan rezeki akan terus terpelihara apabila seseorang sentiasa reda dan bersyukur terhadap segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Hal ini sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ibrahim, ayat 7, yang bermaksud : "Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur terhadap segala nikmat-Ku, tentu Aku akan menambah nikmat itu kepadamu".

Seramai 85 peserta dari Kementerian Pembangunan mempersembahkan Dikir Assalamualaika dan Asyrakal yang dialunkan dengan penuh semangat dan rasa kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Turut mengambil bahagian ialah seramai 60 peserta yang terdiri daripada Muslimah Masjid Universiti, ahli Majlis Perundingan Mukim (MPM) dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) yang mempersembahkan Dikir Khairuman sekali gus menyerlahkan semangat ukhuwah serta kerjasama erat antara masyarakat dan institusi masjid dalam menyemarakkan syiar Islam.

Sementara itu, seramai 30 peserta daripada Muslimah Masjid dan Kumpulan Belia Masjid (KBM) Masjid Az-Zakireen, Kampung Meragang mendendangkan Dikir Bisyahrin, manakala Bahagian Pelajaran Lanjutan Skim Tilawah Al-Quran, Jabatan Pengajian Islam (JPI) dengan penyertaan 50 peserta mempersembahkan Dikir Alhamdu dan Badat.

Bagi memberkati majlis, Doa Dikir dibacakan oleh Awang Haji Abdul Azizi bin Haji Abdul Ghani. Manakala bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam pula dibacakan oleh Awang Saufi bin Haji Suhaini.

Majlis Dikir 12 Malam Berturut-Turut merupakan tradisi tahunan yang sentiasa dinanti-nantikan oleh masyarakat Islam di Negara Brunei Darussalam sebagai wadah memperkukuhkan kecintaan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam, di samping menghayati perjuangan, akhlak serta sunnah Baginda dalam kehidupan seharian.