75 graduan menerima pingat, hadiah buku UNISSA

23 Og 2026 - 8:39am

Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani

Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

JERUDONG, Sabtu, 22 Ogos. – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) petang tadi mengadakan Majlis Penyampaian Pingat dan Hadiah Buku sempena Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16 yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Tarindak D'Polo, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan pingat dan hadiah buku universiti berkenaan, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh selaku Pengerusi Majlis UNISSA.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Awang Muhammad Dzulkhairi bin Haji Ibrahim yang merupakan Penerima Pingat Universiti dan graduan Sarjana Muda Usuluddin (Aqidah dan Da'wah).

Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Penolong Rektor (Hal Ehwal Akademik), UNISSA, Profesor Dr. Siti Sara binti Haji Ahmad selaku Pengerusi Bersama Majlis Penyampaian Pingat dan Hadiah Buku sempena Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-16.

Pada majlis berkenaan, seramai 75 orang menerima pingat dan hadiah buku universiti, iaitu seorang penerima Pingat Pro-Canselor, seorang penerima Pingat Rektor, 11 orang penerima Pingat Universiti dan 62 orang penerima hadiah buku bagi pelbagai kriteria.

Antara penerima utama ialah Awang Muhammad Adi Syazani @ Muhammad Izz Raziq bin Shahri, graduan Sarjana Muda Tahfiz dan Qira'at, yang menerima Pingat Pro-Canselor, Hadiah Pencapaian Akademik Cemerlang (Tahun Akhir) serta Hadiah Pencapaian Terbaik dalam Kursus Al-Quran Al-Karim Aliran Bahasa Arab.

Manakala Pingat Rektor pula dianugerahkan kepada Dayang Zuyyin Khairena binti Abdul Malik, graduan Sarjana Muda Sains Pertanian Agribisnes.

Sepertimana lazimnya, UNISSA menyediakan empat jenis pingat, iaitu Pingat Canselor, Pingat Pro-Canselor, Pingat Rektor dan Pingat Universiti.

UNISSA juga pada waktu yang sama, menyediakan hadiah buku bagi empat kategori yang berbeza, iaitu hadiah buku bagi tahun akhir, hadiah buku bagi selain dari tahun akhir, hadiah buku bagi keputusan cemerlang dalam kursus Al-Quran (aliran Arab dan juga aliran Inggeris) dan hadiah buku bagi keputusan cemerlang dalam kursus Melayu Islam Beraja.

Setiap pingat dan hadiah buku berkenaan mempunyai kriteria masing-masing.

Secara umumnya, kriteria berkenaan dinilai bukan sahaja dari sudut kecemerlangan dalam akademik, kecemerlangan dalam aktiviti serta khidmat masyarakat, bahkan yang paling penting adalah kecemerlangan sahsiah.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani, Ahli-ahli Majlis UNISSA, Penolong-penolong Rektor, jemputan-jemputan khas, para penyumbang dan penaja pingat dan hadiah buku, pegawai-pegawai utama UNISSA, para pensyarah dan ibu bapa serta para penjaga.