Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
PENANJONG GARISON, Jumaat, 21 Ogos. - Seramai 194 Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-180 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berjaya menamatkan Latihan Asas Ketenteraan melalui Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang berlangsung di Padang Kawad Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (IL ABDB), Penanjong Garison, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Angkatan Bersama, ABDB, Kolonel Pengiran Noor Rumaizi bin Pengiran Othman.
Turut hadir, Timbalan-timbalan Pemerintah Angkatan Tentera, pengarah - pengarah, pegawai - pegawai kanan, pegawai - pegawai dan anggota-anggota Kementerian Pertahanan serta keluarga dan penjaga para rekrut yang diraikan.
Upacara dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan oleh tetamu kehormat, diikuti dengan penyampaian ucapan rasmi.
Dalam ucapannya, tetamu kehormat merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seramai 194 Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-180 atas kejayaan menamatkan Latihan Asas Ketenteraan, di samping menzahirkan penghargaan kepada para jurulatih serta ibu bapa dan penjaga atas sokongan, dorongan dan komitmen berterusan sepanjang tempoh latihan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa kejayaan para rekrut adalah hasil daripada kecekalan, disiplin, ketahanan dan semangat juang yang telah dipupuk sepanjang kira-kira 14 minggu latihan.
Kolonel Pengiran Noor Rumaizi juga menekankan bahawa tamatnya Latihan Asas Ketenteraan hanyalah permulaan kepada kerjaya ketenteraan para rekrut, dengan latihan, cabaran dan tanggungjawab yang lebih besar menanti di hadapan.
Beliau menyeru para rekrut agar sentiasa menjunjung kesetiaan, integriti, disiplin dan profesionalisme serta menghayati nilai-nilai Melayu Islam Beraja, mengukuhkan ikatan persaudaraan, membina kepimpinan yang berwibawa dan melaksanakan amanah dengan penuh keberanian serta dedikasi.
Disiplin dan Integriti adalah asas dalam kerjaya tentera yang perlu sentiasa dipelihara, diasah, diperkukuh dan dipertahankan walau dalam apa jua keadaan dan di mana jua berada.
Dalam memperingati titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-80 Tahun, tetamu kehormat turut menekankan kepentingan kepercayaan, kesetiaan dan perpaduan, serta menyeru para rekrut untuk menjadi pemimpin yang berwawasan dalam menyumbang kepada pemeliharaan kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan negara.
Sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan yang ditunjukkan sepanjang tempoh latihan, beberapa anugerah telah disampaikan dalam kategori masing-masing.
Bagi Rekrut Lelaki Pengambilan Ke-180, Anugerah Rekrut Terbaik Keseluruhan diberikan kepada 56783 Rekrut Mohd. Fitri Aminuddin bin Asman, manakala Anugerah Kemahiran Tentera Terbaik disampaikan kepada 56889 Rekrut Abd. Khaliq bin Suhaidi.
Penerima Anugerah Senjata Ringan Terbaik pula diberikan kepada Rekrut 56965 Muhd. Amar Raziq bin Rosman, Tentera Laut Diraja Brunei. Seterusnya, Anugerah Latihan Jasmani Terbaik diberikan kepada 56821 Rekrut Muhd. Izran bin Izlin.
Selain itu, Anugerah Platun Sarjan Terbaik diterima oleh 19006 Sarjan Shafwan bin Mohaimin, manakala Anugerah Ketua Seksyen Terbaik diberikan kepada 53382 Lans Koperal Md. Daniel Firdaus bin Abdullah Roddy Suhardy, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan, profesionalisme dan komitmen cemerlang sepanjang latihan.
Upacara diakhiri dengan bacaan doa yang dipimpin oleh 1464 Leftenan Mohammad Noor Ridzwan bin Ahad dari Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT). Perbarisan tersebut diketuai oleh 1553 Leftenan Mohammad Amir bin Haji Awang Sahari.
Upacara Perbarisan Tamat Latihan ini bukan sahaja menandakan kejayaan para rekrut menamatkan Latihan Asas Ketenteraan, malah melambangkan peralihan mereka menjadi anggota ABDB yang terlatih, berdisiplin dan bersedia untuk memikul amanah dalam mempertahankan keamanan serta kedaulatan Negara Brunei Darussalam.