Majlis Konvokesyen PB raikan 1,182 graduan

25 Okt 2026 - 8:08am

Oleh : Nooratini Haji Abas, Muhamad Khairul Hisyam Haji Jaya

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman, Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

BERAKAS, Sabtu, 24 Oktober. - Seramai 1,182 orang graduan Politeknik Brunei (PB) bagi Kohort 2026 menerima Diploma Tahap 5 masing-masing pada Majlis Konvokesyen PB Ke-12 Tahun 2026 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), hari ini.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 589 orang merupakan graduan lelaki manakala 593 orang lagi adalah graduan perempuan.

Daripada keseluruhan graduan, seramai 339 orang mengikuti program dalam bidang Perdagangan, 289 orang dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi, 317 orang dalam bidang Sains dan Kejuruteraan, 162 orang dalam bidang Sains Kesihatan dan 75 orang dalam bidang Petrokimia.

Para graduan telah mengikuti pengajian selama dua tahun setengah atau tiga tahun dalam pelbagai program yang ditawarkan oleh Sekolah Perniagaan, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Sekolah Sains Kesihatan serta Sekolah Petrokimia, PB.

Diploma Tahap 5 ini diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan melalui Majlis Akreditasi Kebangsaan Brunei Darussalam.

Konvokesyen tahun ini juga menandakan kohort graduan pertama yang menamatkan pengajian dalam tempoh dua tahun setengah, berbanding tempoh tiga tahun seperti kebiasaannya.

Majlis konvokesyen tahun ini diadakan dalam dua sesi, iaitu pagi dan petang, dengan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh, hadir selaku tetamu kehormat bagi sesi pagi, manakala Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos, hadir selaku tetamu kehormat bagi sesi petang.

Majlis dimulakan dengan perarakan masuk para pelajar, diikuti perarakan utama Ahli Lembaga Pengelola dan Senat PB, serta seterusnya ketibaan tetamu kehormat.

Pada sesi pagi, majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Al-Baqarah, ayat 267 hingga 269 oleh seorang graduan Diploma Tahap 5 dalam bidang Keusahawanan dan Strategi Pemasaran dari Sekolah Perniagaan, PB, Awang Abdul Mursyid Al-Murtadha bin Abdul Hadi.

Terjemahan ayat-ayat tersebut disampaikan oleh graduan Diploma Tahap 5 dalam bidang Perakaunan dan Kewangan dari Sekolah Perniagaan, PB, Awang Mohamad Aqiel Khairi bin Muhammad Alias.

Ini diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Lim Kian Boon, selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif dan Kerja bagi Majlis Konvokesyen Kali Ke-12, yang antara lain mengongsikan bahawa PB telah dan sedang giat melaksanakan beberapa inisiatif-inisiatif yang menyokong pembangunan dan kejayaan institusi berkenaan.

Majlis Penyampaian Anugerah Konvokesyen yang disampaikan oleh tetamu kehormat melibatkan graduan daripada program-program, Diploma Tahap 5 dalam Perakaunan Perniagaan dan Kewangan; Diploma Tahap 5 dalam Keusahawanan dan Strategi Pemasaran; Diploma Tahap 5 dalam Pengurusan Modal Insan, yang ditawarkan selama dua tahun setengah.

Turut menerima diploma ialah graduan daripada program tiga tahun, termasuk Diploma Tahap 5 dalam Pengajian Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia), Diploma Tahap 5 dalam Pengajian Perniagaan (Pemasaran); Diploma Tahap 5 dalam Kejuruteraan Kimia; Diploma Tahap 5 dalam Teknologi Peralatan Kimia; Diploma Tahap 5 dalam Teknologi Loji Kuasa dan Sistem Kuasa; Diploma Tahap 5 dalam Teknologi Penyimpanan dan Pengangkutan dan Diploma Tahap 5 dalam Teknologi Loji Kuasa Terma.

Sementara itu, bagi sesi petang, penyampaian anugerah konvokesyen melibatkan graduan daripada pelbagai program, antaranya Diploma Tahap 5 dalam Pembangunan Aplikasi, Awan dan Rangkaian, Analitik Data, Seni dan Media Digital, Teknologi Web, Sains Kesihatan, Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman serta bidang Kejuruteraan Awam, Elektrik, Elektronik dan Komunikasi, Mekanikal, Petroleum serta Telekomunikasi dan Sistem.

Sebagai majlis susulan, PB turut merancang untuk mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar secara berasingan.

Anugerah yang akan disampaikan merangkumi Anugerah Cemerlang Kakitangan, Anugerah Pelajar Terbaik, Anugerah Cemerlang Akademik, Anugerah Kecemerlangan Aktiviti Pengayaan, Anugerah Inovasi dan Anugerah Duta Besar China yang ditaja oleh Kedutaan Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam.

Bagi kemudahan ibu bapa, penjaga, ahli keluarga dan rakan-rakan graduan, PB turut menyediakan siaran langsung majlis melalui saluran YouTube rasmi PB.