Hamas gesa dialog kebangsaan selepas pilihan raya Palestin ditangguhkan

11 Okt 2026 - 11:06am

ISTANBUL, 11 Okt. - Hamas pada lewat Sabtu memaklumkan penangguhan pilihan raya Palestin hingga September tahun depan sepatutnya membuka jalan kepada "dialog kebangsaan yang menyeluruh", sambil menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian, lapor Anadolu Ajansi.

Kumpulan itu menyatakan keadaan ketika ini tidak memungkinkan pilihan raya yang bebas dan adil di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Hamas menyatakan kesediaan untuk menyertai rundingan yang "serius dan produktif" bagi mencapai persetujuan yang mengikat mengenai penyusunan semula institusi Palestin, khususnya Majlis Kebangsaan Palestin dan Majlis Perundangan Palestin.

Kumpulan itu turut menggesa persetujuan dicapai mengenai strategi kebangsaan yang merangkumi program politik bersama, pengaturan bagi tempoh peralihan serta usaha menghadapi ancaman serius Israel terhadap perjuangan Palestin, khususnya di Semenanjung Gaza.

Menurut Hamas, usaha membina semula dan melakukan pembaharuan terhadap institusi Palestin menerusi pilihan raya yang bebas dan adil kekal menjadi keutamaan negara.

Terdahulu pada Sabtu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengeluarkan dekri menetapkan 11 Sept 2027 sebagai tarikh pilihan raya presiden dan perundangan diadakan secara serentak, menggantikan rancangan awal untuk mengadakan pilihan raya pada November ini.

Hampir 2.97 juta rakyat Palestin layak mengundi, termasuk kira-kira 1.59 juta di Tebing Barat yang diduduki, 1.24 juta di Gaza dan 140,000 penduduk Palestin di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Pilihan raya perundangan Palestin kali terakhir diadakan pada 2006, apabila Hamas memenangi majoriti kerusi. - ©BERNAMA