Served Squad Pickleballers adakan kunjungan muhibah ke Limbang

21 Jul 2026 - 7:29am

Berita dan Foto : Ihsan Hayatdy Idris

 

LIMBANG, Isnin, 20 Julai. - Kelab Served Squad Pickleballers dari Negara Brunei Darussalam telah mengadakan kunjungan muhibah bagi perlawanan sosial bersama Kelab Limbang Picklers dalam usaha mengeratkan hubungan persahabatan serta memperkukuh kerjasama serantau menerusi sukan Pickleball.

Perlawanan yang berlangsung di Jalan Kubu, Limbang, Sarawak, Malaysia, baru-baru ini menghimpunkan seramai 40 pemain dari kedua-dua kelab.

Served Squad Pickleballers diwakili oleh 20 pemain yang terdiri daripada 10 lelaki dan 10 wanita, manakala Kelab Limbang Picklers turut menampilkan 20 pemain dengan jumlah penyertaan yang sama, iaitu 10 pemain lelaki dan 10 pemain wanita.

Selain menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, perlawanan sosial berkenaan turut menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kesukanan serta memperluas jaringan persahabatan antara komuniti pemain Pickleball di Brunei Darussalam dan Sarawak.

Served Squad Pickleballers telah ditubuhkan pada November 2025, manakala Kelab Limbang Picklers mula ditubuhkan pada Ogos 2025.