Majlis Perjumpaan bersama His Highness Amir Negara Qatar

10 Nov 2026 - 8:12am

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri

Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Mohd. Sahrizal Haji Said

DOHA, QATAR, Isnin, 9 November. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini, berkenan berangkat ke Amiri Diwan bagi Majlis Perjumpaan bersama His Highness Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, Amir Negara Qatar.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung oleh His Highness Sheikh Abdullah bin Hamad Al-Thani, Timbalan Amir Negara Qatar dan seterusnya telah dialu-alukan dalam satu upacara Sambutan Rasmi.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota telah disembahkenalkan kepada ahli-ahli delegasi Negara Qatar diikuti dengan delegasi Negara Brunei Darussalam (NBD) pula diperkenalkan secara rasmi kepada His Highness Timbalan Amir. Sambutan Rasmi ini menandakan permulaan yang mesra dan penuh hormat bagi urusan diplomatik pada hari tersebut.

Selepas Sambutan Rasmi tersebut, Duli Yang Teramat Mulia telah disambut dengan mesra oleh His Highness Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, Amir Negara Qatar dalam satu kunjungan hormat yang merupakan satu peristiwa bersejarah yang mencerminkan hubungan erat dan berkekalan antara kedua-dua negara. Turut berangkat ialah His Highness Timbalan Amir.

Semasa kunjungan hormat tersebut, DYTM telah menyampaikan salam muhibah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada His Highness Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, Amir Negara Qatar. DYTM dan His Highness menyambut baik hubungan dua hala yang mesra antara NBD dan Negara Qatar.

DYTM dan His Highness juga bertukar-tukar pandangan mengenai usaha-usaha strategik kedua-dua buah negara untuk mempelbagaikan ekonomi sebagai kedua-dua buah negara yang kaya dengan hasil minyak serta meneroka peluang bagi memperluaskan kerjasama dalam bidang pelaburan.

DYTM turut bersabda bahawa pada tahun 2027, NBD bakal meraikan detik bersejarah iaitu Sambutan Jubli Intan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta serta Tahun Melawat Brunei (Visit Brunei Year).