Kontinjen olahraga, angkat berat berlepas ke Glasgow, Scotland

22 Jul 2026 - 6:07am

Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman 

BERAKAS, Selasa, 21 Julai. - Kontinjen kedua Negara Brunei Darussalam (NBD) terdiri seramai enam ahli iaitu dua atlet sukan olahraga dan seorang atlet angkat berat serta Pegawai Urus Setia, Jurulatih Olahraga dan Jurulatih Angkat Berat telah bertolak ke Glasgow, Scotland bagi menyertai Kejohanan Sukan Komanwel Ke-23, Tahun 2026.

Hadir bagi mengucap selamat belayar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, di sini, ialah Pengarah Belia dan Sukan, Dayang Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim dan seterusnya memberikan ucapan nasihat serta kata-kata semangat kepada para atlet. Turut hadir, pegawai-pegawai Jabatan Belia dan Sukan, persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan keluarga atlet.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Awang Haji Ahmad Yaardy bin Haji Abdul Karim dan kemudiannya sesi bergambar ramai.

Atlet Angkat Berat Negara akan mula bertanding pada Ahad, 26 Julai 2026 di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo. Manakala atlet-atlet olahraga negara akan mula bertanding pada Isnin, 27 Julai 2026 di Stadium EDF Scotstoun.

Apa yang kita harapkan semoga skuad negara kita akan dapat mempamerkan satu mutu prestasi dengan sebaiknya bagi pencapaian rekod peribadi dan kejayaan yang membanggakan.

Adapun Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadualkan berlangsung di empat ‘venue’ utama dalam lingkungan 12.8 kilometer di sekitar bandar raya ini, iaitu Stadium Scotstoun, Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, Arena Antarabangsa Glasgow dan Scottish Event Campus.

Glasgow menjadi tuan rumah Sukan Komanwel buat kali kedua selepas kali pertama menganjurkan temasya itu pada 2014. Temasya sukan yang dianggotai oleh Negara-negara Komanwel akan dilangsungkan bermula dari 23 Julai hingga 2 Ogos