Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Selasa, 15 September. - Seramai 11 ahli kontinjen Negara Brunei Darussalam (NBD) yang terdiri daripada seorang atlet Karate, lima atlet Wushu dan lima pegawai kontinjen, hari ini berlepas ke Aichi-Nagoya, Jepun bagi menyertai Sukan Asia Ke-20 Tahun 2026, yang akan diadakan di Wilayah Aichi, Nagoya, Jepun.
Daripada jumlah berkenaan, lima pegawai kontinjen merangkumi Chef de Mission (CDM), Pegawai Perubatan dan jurulatih yang akan memastikan kebajikan, persiapan serta kelancaran penyertaan para atlet sepanjang temasya berlangsung.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi menyampaikan ucapan nasihat dan kata-kata motivasi kepada kontinjen negara, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Awang Aliuddin mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen serta menekankan untuk sentiasa menjaga disiplin dan menjadi kebanggaan buat negara.
Selain itu tambahnya lagi, kepada CDM dan para jurulatih untuk sama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan para atlet sepanjang temasya sukan berkenaan berlangsung.
Turut hadir, Setiausaha Pertama (First Secretary), Puan Saito Keiko, selaku wakil dari Kedutaan Jepun di NBD; pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Belia dan Sukan; wakil Persekutuan Karate Brunei Darussalam (BRUKAF) dan Persekutuan Wushu NBD; serta ahli keluarga para atlet.
Sebelum memasuki ruang pelepasan, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keselamatan kontinjen dan seterusnya sesi bergambar ramai.
Atlet Karate negara dijadualkan memulakan saingan pada 20 September 2026 dalam acara Men's Kumite - 55 kilogram (kg) yang akan berlangsung di Toyohashi Gymnasium.
Pada tarikh yang sama, lima atlet Wushu negara turut membuka tirai saingan di Aichi Prefectural Martial Arts Hall, masing-masing dalam acara Nanquan, Nangun, Taijiquan, Taijijian dan Changquan.
Penyertaan kontinjen kecil berkenaan mencerminkan komitmen negara dalam terus mengangkat nama NBD di persada Sukan Asia, di samping memberi ruang kepada atlet negara untuk menguji kemampuan dan mengukir pengalaman di pentas pertandingan berprestij antarabangsa.
Semoga seluruh kontinjen negara diberikan kekuatan, ketenangan dan prestasi terbaik dalam mengharungi setiap saingan, seterusnya membawa pulang kejayaan serta mengharumkan nama NBD.