Oleh : Dk. Hajah Naqayatul Akma Pg. Haji AliFoto : Ihsan Urus Setia Kontinjen Negara Brunei Darussalam ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 Ke-23
GLASGOW, SCOTLAND, Selasa, 28 Julai. - Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) berkenan berangkat ke Venue Olahraga bagi menyaksikan penyertaan atlet Negara Brunei Darussalam (NBD), Awang Md. Nazrul Putera bin Faeiz Firdaous dalam Acara 100 meter (m) Pecut Lelaki dan Dayang Nur Syafiqah binti Abdullah Md. Mukhlis dalam Acara 100m Pecut Wanita sempena Sukan Komanwel Ke-23 di Glasgow, Scotland, baru-baru ini.
Kedua-dua atlet mempamerkan semangat juang, disiplin dan komitmen yang tinggi sepanjang perlumbaan.
Pada acara tersebut, Awang Md. Nazrul Putera dan Dayang Nur Syafiqah masing-masing berjaya memperbaharui rekod peribadi (Personal Best), sekali gus membuktikan peningkatan prestasi hasil persediaan dan latihan yang konsisten.
Sejurus selesai pertandingan, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah berkenan menemui kedua-dua atlet berkenan bagi menyampaikan sabda penghargaan dan kata-kata semangat.
Seterusnya, Duli Yang Teramat Mulia turut berkenan mengurniakan sabda ucapan tahniah atas kejayaan mereka mencatat rekod peribadi baharu serta menzahirkan harapan agar kedua-duanya akan terus mempertingkatkan prestasi dan menjadikan penyertaan ini sebagai pemangkin untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang pada kejohanan-kejohanan akan datang.
Hasil laporan, dalam Acara 100m Pecut Lelaki, Awang Md. Nazrul Putera mencatat masa 10.81 saat, sekali gus memperbaharui rekod peribadinya daripada 11.08 saat.
Awang Md. Nazrul Putera menamatkan saingan di tempat keenam daripada tujuh pelari dalam Heat 1 daripada 11 dan berada di kedudukan keseluruhan ke-53 daripada 73 peserta. Rekod kebangsaan bagi acara ini masih dipegang oleh Firdaus dengan catatan 10.48 saat.
Sementara itu, dalam Acara 100m Pecut Wanita, Dayang Nur Syafiqah turut mencipta rekod peribadi baharu apabila merekodkan masa 13.46 saat, memperbaiki catatan sebelumnya iaitu 13.54 saat.
Dayang Nur Syafiqah menamatkan perlumbaan di tempat keenam daripada tujuh pelari dalam Heat 8 daripada 8, sekali gus menduduki kedudukan keseluruhan ke-50 daripada 52 peserta. Rekod kebangsaan acara tersebut kekal milik Alinawati Aliakbar dengan catatan 12.02 saat.
Pencapaian kedua-dua atlet ini menunjukkan perkembangan positif apabila masing-masing berjaya memperbaharui rekod terbaik peribadi mereka di pentas pertandingan antarabangsa.