Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama
BELAIT, Selasa, 1 September. - Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Al-Mashor, Kampung Sungai Mau, Daerah Belait mengadakan Majlis Berselawat sempena Sambutan Ihya Maulidur Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bagi Kelas Bimbingan Muslimah Daerah Belait.
Majlis yang membawa tema 'Zahirkan Cinta dan Rindu Kepada Baginda Rasulullah dengan Berselawat' berkenaan telah diadakan pada pagi tadi di Masjid Al-Mashor, Kampung Sungai Mau, Daerah Belait.
Majlis berkenaan diadakan bagi memeriahkan lagi Sambutan Maulidur Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, di samping menzahirkan rasa kasih dan cinta kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam melalui amalan berselawat.
Selain itu, program berkenaan juga bertujuan memperkenalkan pelbagai variasi Selawat serta menggalakkan para Muslimah menjadikan Selawat sebagai zikir dan amalan harian.
Antara tujuan utama majlis diadakan adalah untuk menyahut seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.
Di samping itu, majlis berkenaan dihasratkan dapat meningkatkan kecintaan dan kerinduan kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, menggalakkan penglibatan para Muslimah dalam program-program keagamaan di masjid serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan Muslimah dan jemaah masjid.
Hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai dan kakitangan wanita Jabatan Hal Ehwal Masjid, peserta Kelas Bimbingan Muslimah daripada beberapa buah masjid dan balai ibadat, ahli jawatankuasa takmir masjid serta jemputan Kelas Bimbingan Muslimah dari Daerah Belait dan Daerah Brunei dan Muara.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan tazkirah, bacaan Selawat, Dikir Syarafil Anam serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Semoga dengan adanya majlis seumpama berkenaan akan dapat menyemarakkan lagi kecintaan para Muslimah terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta mendorong mereka untuk memperbanyakkan bacaan Selawat dan menjadikannya sebagai amalan dalam kehidupan seharian.