Oleh : Nooratini Haji Abas
Foto : Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Ogos. - Jabatan Perkhidmatan Pergigian dan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kementerian Kesihatan pagi tadi menganjurkan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bagi memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bertempat di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan.
Sambutan Maulidur Rasul Kementerian Kesihatan bertujuan untuk memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, yang merupakan utusan terakhir-Nya dan pembawa rahmat kepada seluruh alam.
Selain itu, ia memberi peluang kepada warga kementerian berkenaan untuk mengenang kembali sirah kehidupan Baginda, akhlak mulia serta perjuangannya dalam menyebarkan agama Islam.
Di samping itu juga, sambutan berkenaan menjadi wadah untuk memperkuatkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam serta menanamkan nilai-nilai murni yang diajarkan oleh Baginda dalam kehidupan seharian.
Bahkan, aktiviti seperti ceramah agama dan zikir selawat akan turut menyemarakkan lagi semangat perpaduan dan keimanan dalam kalangan warga Kementerian Kesihatan.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Ketua Unit Perkhidmatan Ugama, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Awang Ahmad Syuja'iee bin Begawan Mudim Haji Metassim.
Majlis diteruskan dengan Ceramah Mauludir Rasul bertajuk 'Contohi Akhlak Rasulullah Dalam Menanai Perintah Allah' yang disampaikan oleh Penolong Profesor, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.
Majlis seterusnya diserikan lagi dengan tausyeh beramai-ramai dikepalai oleh Ahbab Al-Hadi daripada Kumpulan Tausyeh Belia Masjid Sultan Omar 'Ali Saifuddien.
Majlis berkenaan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan Doa Allah Peliharakan Sultan yang juga dibacakan oleh Awang Ahmad Syuja'iee.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Awang Haji Adi Ihram bin Dato Paduka Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan.