Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
TUNGKU LINK, Khamis, 3 September. - Universiti Teknologi Brunei (UTB), dengan kerjasama McDonald's Brunei serta sokongan Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Manusia (Manpower Industry Steering Committee-MISC) bagi Industri Makanan, petang tadi telah mengadakan Majlis Penyampaian Sijil bagi meraikan kejayaan pelaksanaan projek kolaboratif 'Developing a Culture of Food Safety in the Next Generation'.
Majlis yang berlangsung di Dewan Kuliah, Tingkat 1, Sekolah Sains Gunaan dan Matematik (School of Applied Sciences and Mathematics-SASM), UTB berkenaan disempurnakan oleh Naib Canselor UTB, Profesor Madya Pengiran Dr. Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra selaku tetamu kehormat majlis.
Majlis berkenaan mengiktiraf para pelajar daripada sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyertai Program Kesedaran Keselamatan Makanan, dan juga beberapa peserta lain yang telah berjaya menamatkan dua kursus peningkatan kapasiti di bawah Program Pembungkusan Makanan dan Keselamatan Makanan (Food Packaging and Food Safety Programme).
Profesor Madya Pengiran Dr. Mohammad Iskandar dalam ucapannya menjelaskan program-program berkenaan dianjurkan bersempena dengan Hari Keselamatan Makanan Sedunia, yang mengingatkan semua pihak bahawa keselamatan makanan merupakan tanggungjawab bersama.
Menurutnya lagi, daripada cara makanan disediakan dan dibungkus hinggalah kepada cara makanan dikendalikan dan dihidangkan, setiap individu mempunyai peranan dalam memastikan makanan yang dimakan adalah selamat.
Beliau turut menekankan bahawa kursus dalam bidang pembungkusan makanan dan keselamatan makanan memberikan pengetahuan serta kemahiran praktikal yang berguna, sama ada peserta menceburi industri makanan, memilih kerjaya berkaitan bidang makanan mahupun memulakan perniagaan sendiri.
Seiring UTB melangkah ke fasa seterusnya, beliau berkata, input yang telah diajarkan, keperluan industri dan usaha memberikan impak kepada masyarakat perlu terus diperkukuh. Begitu juga, hasil penyelidikan dan kepakaran universiti tidak seharusnya hanya berada dalam lingkungan akademik, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk membantu industri, menyelesaikan permasalahan sebenar serta membawa manfaat kepada masyarakat.
Profesor Madya Pengiran Dr. Mohammad Iskandar seterusnya menegaskan bahawa kerjasama antara UTB melalui SASM dengan McDonald's Brunei adalah penting dalam menggabungkan kekuatan akademik dan industri.
Acara kemudiannya diteruskan dengan tayangan video yang memaparkan aktiviti, pencapaian serta hasil utama projek kolaboratif berkenaan, diikuti dengan penyampaian sijil kepada wakil-wakil sekolah dan peserta Program Peningkatan Kapasiti sebagai pengiktirafan terhadap penyertaan serta kejayaan mereka menamatkan program.
Projek 'Developing a Culture of Food Safety in the Next Generation' dijalankan bersempena dengan sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia melalui kerjasama antara SASM, UTB dan McDonald's Brunei, dengan sokongan MISC bagi Industri Makanan.
Inisiatif berkenaan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peserta mengenai keselamatan makanan, di samping memupuk budaya keselamatan makanan yang kukuh dalam kalangan generasi profesional masa hadapan.
Menerusi Program Kesedaran Keselamatan Makanan, para pelajar diperkenalkan kepada aspek keselamatan makanan melalui pembelajaran amali serta pendedahan kepada amalan keselamatan makanan dalam situasi sebenar.
Mereka turut didedahkan kepada amalan terbaik yang diterapkan oleh McDonald's Brunei, termasuk pengendalian makanan yang betul, kebersihan, sanitasi, pencegahan pencemaran silang serta kepentingan mengekalkan piawaian keselamatan makanan yang tinggi sepanjang proses penyediaan dan penyajian makanan.
Dengan sokongan MISC bagi Industri makanan, program berkenaan turut diperluas menerusi Program Peningkatan Kapasiti, yang menyediakan latihan praktikal kepada golongan belia dalam bidang keselamatan makanan dan pembungkusan makanan.
Latihan berkenaan merangkumi bengkel interaktif, kajian kes serta aktiviti amali bagi membolehkan peserta memahami dengan lebih baik amalan kebersihan dan keselamatan makanan, pemeriksaan keselamatan makanan serta kaedah mengenal pasti aspek yang boleh diperbaiki dalam operasi makanan.
Peserta turut diperkenalkan kepada kaedah pengauditan dalaman keselamatan makanan bagi membolehkan mereka mengaplikasikan konsep asas audit untuk mengenal pasti jurang, menilai amalan sedia ada serta mengenal pasti ruang penambahbaikan secara berterusan dalam pengurusan keselamatan makanan.
Kejayaan pelaksanaan program berkenaan mencerminkan kepentingan kerjasama antara pihak akademik dan industri dalam menangani keperluan industri serta memperkukuh kompetensi profesional. Melalui inisiatif seumpama berkenaan, UTB terus menyediakan peluang perkongsian ilmu dan pembelajaran secara praktikal, di samping menyumbang kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran serta kemajuan sektor makanan di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Kerjasama berkenaan juga menyokong keutamaan negara dalam aspek keterjaminan makanan dan keselamatan makanan, selain memperkukuh kepentingan pendidikan yang relevan dengan keperluan industri serta pembangunan profesional sepanjang hayat.
UTB kekal komited dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama pihak industri dan pihak berkepentingan bagi menggalakkan pembangunan modal insan, meningkatkan kompetensi profesional serta memberikan sumbangan bermakna kepada pertumbuhan dan perkembangan berterusan sektor makanan NBD.