Usaha memperkasa celik kewangan dalam kalangan masyarakat

5 Sep 2026 - 5:42am

Siaran Akhbar dan Foto : Bank Baiduri

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 4 September. – Bank Baiduri dengan sukacitanya menyertai Financial Awareness Roadshow sempena Hari Celik Kewangan Kebangsaan (NFLD) 2026, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan bank berkenaan dalam meningkatkan tahap celik kewangan serta menyokong kesejahteraan kewangan jangka panjang di Negara Brunei Darussalam (NBD).

Diadakan sempena NFLD 2026, jerayawara berkenaan berlangsung dari 2 hingga 4 September 2026 di The Mall dengan membawa tema 'Smart Money Habits, Stronger Financial Well-Being'.

Inisiatif yang diterajui oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Kementerian Pendidikan berkenaan menghimpunkan institusi-institusi kewangan serta pihak berkepentingan bagi mendekati para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) melalui pendidikan kewangan secara praktikal, di samping memperluas usaha meningkatkan celik kewangan kepada orang ramai.

Sepanjang acara selama tiga hari berkenaan, Bank Baiduri berinteraksi dengan para pengunjung menerusi pelbagai alat kewangan interaktif yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai tabiat berbelanja, amalan menabung dan tahap kesihatan kewangan secara keseluruhan.

Para peserta juga berpeluang menyertai Financial Personality Quiz, yang membantu mereka memahami dengan lebih baik hubungan mereka dengan wang, di samping menjadikan pembelajaran berkaitan kewangan lebih menarik dan relevan dalam kehidupan seharian.

Jerayawara berkenaan turut menjadi wadah bagi mengetengahkan pendekatan menyeluruh Bank Baiduri terhadap kesejahteraan kewangan. Antara teras utama pendekatan berkenaan ialah Financial Wellness Centre, yang menyediakan ruang selesa dan menyokong orang ramai untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada perancang kewangan.

Sama ada untuk menguruskan perbelanjaan bulanan, membuat simpanan bagi pembelian rumah, membuat persediaan persaraan, mengembangkan pelaburan atau mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kedudukan kewangan, Financial Wellness Centre menawarkan panduan praktikal yang disesuaikan mengikut keperluan individu.

Menurut Ketua Pengurusan Kekayaan Bank Baiduri, Brian Wong, apa yang menjadikan NFLD begitu bermakna ialah peluang yang diberikan kepada orang ramai untuk mendapatkan pendedahan mengenai pelbagai aspek kesejahteraan kewangan di satu tempat.

Jelasnya lagi, daripada pengurusan belanjawan dan amalan menabung kepada pelaburan, perlindungan kewangan serta kesedaran pengguna, para peserta berpeluang meneroka pelbagai topik yang dapat membantu mereka membentuk tabiat kewangan yang lebih baik serta memahami dengan lebih jelas pilihan-pilihan kewangan yang tersedia untuk mereka.

"Antara perkara yang sering kami lihat di Financial Wellness Centre ialah orang ramai mengetahui bahawa mereka ingin memperbaiki keadaan kewangan masing-masing, namun tidak semestinya mengetahui dari mana hendak bermula.

"Oleh itu, pendidikan kewangan amat penting. Semakin banyak pendedahan yang diterima mengenai pelbagai idea, alat dan sumber panduan, semakin yakin seseorang itu untuk mengambil langkah seterusnya ke arah membina masa depan yang diimpikan," ujarnya lagi.

Pendekatan berkenaan turut dilengkapi dengan penambahbaikan terbaharu kepada Baiduri Smart, yang disasarkan kepada golongan profesional dan individu yang beraspirasi untuk membina kesejahteraan kewangan jangka panjang, di samping menikmati pelbagai ganjaran bermakna dalam kehidupan seharian.

Baiduri Smart menghimpunkan kadar dan yuran istimewa bagi produk pembiayaan dan pelaburan terpilih, keistimewaan gaya hidup eksklusif serta akses kepada penyelesaian kewangan yang disesuaikan mengikut keperluan pelanggan.

Program berkenaan turut direka bagi menyokong pelanggan pada pelbagai peringkat kehidupan. Bersama Financial Wellness Centre dan khidmat nasihat peribadi daripada perancang kewangan, pendekatan berkenaan menyediakan pengalaman perbankan dan perancangan kewangan yang lebih menyeluruh.

Menerusi Baiduri Capital, Kumpulan Bank berkenaan turut menggalakkan orang ramai untuk mengambil pendekatan jangka panjang dalam pelaburan dan pembinaan kekayaan. Antara tawaran yang disediakan ialah Baiduri Invest Recurring Subscription Plan, yang membolehkan pelanggan membuat pelaburan secara berkala dalam tempoh tertentu, sekali gus membantu mereka membentuk tabiat pelaburan yang konsisten dan berusaha mencapai aspirasi kewangan jangka panjang.

Selain aktiviti celik kewangan, para pengunjung turut berpeluang mengetahui dengan lebih lanjut mengenai produk dan perkhidmatan Bank Baiduri, termasuk kad, penyelesaian pembiayaan, tawaran insurans serta program Baiduri Smart yang telah ditambah baik.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi Financial Wellness Centre di Ibu Pejabat Bank Baiduri bagi meneroka kemudahan yang disediakan, mencuba alat-alat interaktif serta mendapatkan pandangan secara langsung daripada para perancang kewangan.

Pusat berkenaan terbuka kepada semua rakyat dan penduduk di NBD, bukan sahaja pelanggan Bank Baiduri, selaras dengan komitmen bank berkenaan untuk memastikan kesejahteraan kewangan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Untuk maklumat lanjut mengenai Bank Baiduri, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi bank ‘www.baiduri.com’ atau mengikuti saluran media sosial rasmi Bank Baiduri.