Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 September. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PKPSH) menganjurkan Program Ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul Sallallahu Alaihi Wasallam bertajuk 'Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, Panduan Membina Insan Berkualiti' berlangsung di Dewan Auditorium, Kampus UNISSA, Gadong, baru-baru ini.
Ceramah tersebut telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Profesor Adjung Fakulti Usuluddin UNISSA, Profesor Dr. Abdul Somad.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Rektor UNISSA, Profesor Madya Dr. Awang Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani. Turut hadir, penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama universiti, tenaga akademik, pegawai dan kakitangan, serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.
Dalam ceramahnya, Profesor Dr. Abdul Somad menekankan kepentingan menjadikan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai suri teladan dan pedoman utama dalam kehidupan, khususnya melalui penghayatan dan pengamalan sunnah Baginda serta pembentukan akhlak mulia dalam usaha melahirkan insan yang berkualiti.
Beliau turut menjelaskan bahawa kualiti seseorang insan tidak hanya diukur melalui pencapaian akademik, kedudukan atau kemahiran semata-mata, bahkan turut bergantung pada keseimbangan antara iman dan takwa, penguasaan ilmu, kemuliaan akhlak serta hubungan yang kukuh dengan Allah Subhanahu Wata'ala.
Program tersebut antara lain bertujuan meningkatkan kecintaan terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam di samping memperkukuh kefahaman warga UNISSA mengenai kepentingan sunnah sebagai panduan dalam pembentukan sahsiah, kepimpinan dan kehidupan seharian.