UBD rasmikan Makmal Keselamatan Siber, Forensik Digital

9 Sep 2026 - 8:00am

Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 September. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) hari ini secara rasmi membuka Makmal Keselamatan Siber dan Forensik Digital UBD, hasil sokongan Cyber Security Brunei (CSB) dan Information Technology Protective Security Services Sdn. Bhd. (ITPSS), sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh keupayaan universiti berkenaan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan latihan amali keselamatan siber.

Majlis pembukaan dirasmikan oleh tetamu kehormat, Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Awang Haji Mohd Zalani bin Haji Ismail.

Turut hadir ialah Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle; Pemangku Pesuruhjaya CSB, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis; Ketua Pegawai Eksekutif ITPSS Sdn. Bhd., Awang Azman Iskandar bin Ariffin serta wakil-wakil daripada CSB, ITPSS dan pengurusan kanan, pegawai, kakitangan serta mahasiswa UBD.

Makmal tersebut ditubuhkan melalui kerjasama antara UBD, CSB dan ITPSS dengan menggabungkan kekuatan akademik serta kepakaran profesional bagi melahirkan tenaga tempatan berkemahiran dan menyokong masa depan digital Negara Brunei Darussalam (NBD) yang selamat dan berdaya tahan.

Menurut Pemangku Pesuruhjaya CSB, penubuhan makmal berkenaan merupakan antara pelaksanaan praktikal Perkongsian Awam-Swasta (Public-Private Partnership -PPP) dalam mendukung Akta Keselamatan Siber Negara Brunei Darussalam, khususnya dalam mempromosikan dan membangunkan kompetensi serta standard profesional bakal tenaga profesional keselamatan siber di negara ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif berkenaan juga akan menyokong kemajuan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan dalam bidang keselamatan siber.

CSB dan ITPSS menyokong penubuhan makmal tersebut dengan menyediakan perkakasan dan perisian yang diperlukan, di samping berkongsi kepakaran praktikal serta pengalaman profesional melalui bengkel yang diadakan.

Sumbangan tersebut diharap dapat membantu para mahasiswa dan penyelidik menghubungkan pengetahuan teori dengan aplikasi praktikal, membangunkan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri serta menangani cabaran keselamatan siber dunia sebenar.

Dalam ucapan alu-aluan, Dekan Sekolah Sains Digital UBD, Profesor Dr. Liyanage Chandratilak De Silva menekankan kepentingan kerjasama tersebut dalam mempersiapkan mahasiswa untuk memasuki alam profesional.

Menurutnya, dengan menggabungkan kekuatan UBD dalam bidang pendidikan dan penyelidikan bersama sumber teknikal, kepakaran praktikal dan pengalaman industri CSB serta ITPSS, kerjasama tersebut dapat merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dengan amalan profesional.

Penubuhan Makmal Keselamatan Siber dan Forensik Digital UBD mencerminkan komitmen universiti berkenaan dalam melahirkan tenaga berkemahiran dan bersedia menghadapi keperluan masa depan, di samping memperkukuh keupayaan negara dalam bidang keselamatan siber dan forensik digital.

Inisiatif tersebut turut mengukuhkan peranan UBD dalam menyokong usaha NBD ke arah masa depan digital yang selamat, berdaya tahan dan diperkasakan teknologi.