Tingkatkan pemahaman, kemahiran dalam menghasilkan syair

11 Sep 2026 - 6:37am

Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Khamis, 10 September. - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Sastera dan Majalah mengadakan Merangkai Irama Merintis Warisan : Bengkel Penulisan Syair Melayu di Dewan Patih Barbai, DBP.

Bengkel yang berlangsung selama tiga hari, iaitu pada 10, 12 dan 14 September 2026, merupakan antara kegiatan sempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun Penerbitan Majalah Bahana 1966 - 2026.

Hadir selaku tetamu kehormat pada Majlis Pembukaan bengkel tersebut ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul Wahab. Turut hadir, Pemangku Timbalan Pengarah, ketua-ketua bahagian serta para pegawai DBP.

Terdahulu Penolong Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, DBP, Dayang Wathiqah Amirah binti Haji Wasli juga selaku Penolong Setiausaha Bersama dalam ucapannya berkata bahawa bengkel berkenaan dapat memperkukuh pengetahuan dan kemahiran para peserta dalam menghasilkan syair yang bermutu serta menepati ciri-ciri puisi tradisional Melayu.

Beliau turut menjelaskan bahawa hasil karya peserta bengkel dirancang untuk diterbitkan dalam Majalah Bahana, sekali gus memberikan peluang kepada para peserta untuk menyertai Peraduan Penulisan Kreatif Bahana DBP 2026 dalam genre syair.

Bengkel berkenaan dibimbing oleh Elit Budaya dan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The SEA Write Award) 2003, Dr. Awang Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid.

Dr. Awang Haji Hashim mula bergiat aktif dalam dunia penulisan sejak tahun 1965 dan telah menghasilkan pelbagai genre penulisan, antaranya sajak, pantun, cerpen, esei, kritikan sastera dan langgam suara.

Seramai 27 peserta menyertai bengkel berkenaan yang terdiri daripada mahasiswa institusi pengajian tinggi, pelajar prauniversiti, penulis muda dan orang ramai. Sepanjang bengkel, para peserta diberikan bimbingan secara praktikal bermula daripada proses pembinaan idea, penghasilan rangkap sehingga pemurnian karya.

Pendekatan berkenaan diharap dapat meningkatkan pemahaman dan kemahiran para peserta dalam menghasilkan syair yang menepati ciri-ciri serta estetika puisi tradisional Melayu.

Pengungkayahan bengkel tersebut diharap akan dapat melahirkan lebih ramai penulis syair dalam kalangan generasi baharu, di samping memastikan tradisi penulisan syair Melayu terus dipelajari, diamalkan dan diwariskan.

Dalam masa yang sama, kegiatan berkenaan turut memperkukuh peranan majalah Bahana sebagai wadah perkembangan dan penerbitan karya sastera, selaras dengan sambutan enam dekad penerbitannya.