Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Ihsan Dayang Asmah Abdul Wahab
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 November. - Sebagai salah satu inisiatif untuk memberikan pendedahan dan meningkatkan kemahiran golongan belia dalam bidang kecantikan, kesihatan serta keusahawanan, Jabatan Belia dan Sukan, Cawangan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Tatarias Pusat Belia Bandar Seri Begawan baru-baru ini telah mengungkayahkan Program Transformasi Keusahawanan Kecantikan dan Kesihatan bertempat di Ruangan Belia Kitani, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan.
Program yang berlangsung selama dua hari bermula 31 Oktober hingga 1 November itu telah disertai oleh 20 orang yang sekali gus berpeluang menimba pengetahuan, meningkatkan kemahiran diri dan juga sama-sama berkongsi pengalaman dalam bidang yang diketengahkan.
Program Transformasi Keusahawanan Kecantikan dan Kesihatan tersebut merupakan satu platform pembelajaran dan perkongsian ilmu yang menggabungkan aspek kecantikan, kesihatan dan keusahawanan.
Matlamat utama program ini adalah untuk memberikan pengetahuan serta kemahiran praktikal kepada para peserta, di samping membuka minda mereka mengenai potensi bidang kecantikan dan kesihatan sebagai salah satu peluang kerjaya dan sumber pendapatan.
Seramai tiga orang tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang masing-masing telah memeriahkan pengisian program tersebut.
Salah seorang tenaga pengajar iaitu Awang Mohamad Hasbolah Bobby bin Haji Hassan dari LiveWIRE telah memberikan pendedahan berkaitan keusahawanan, pembangunan idea perniagaan dan peluang untuk menceburi bidang perniagaan.
Dayang Aamena binti Haji Bungsu dari Ruya Akademi by Zenarra pula berkongsi ilmu dan kemahiran berkaitan bidang kecantikan serta kepentingan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam industri kecantikan.
Sementara itu, Dayang Asmah binti Abdul Wahab dari Tatarias Pusat Belia Bandar Seri Begawan telah memberikan perkongsian ilmu dan kemahiran dalam bidang kecantikan dan kesihatan termasuk kepentingan penjagaan diri serta kemahiran praktikal yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan dan perniagaan.
Gabungan pengisian program tersebut memberikan peserta-peserta pendedahan yang lebih menyeluruh bukan sahaja dari aspek kemahiran teknikal malah merangkumi pengetahuan keusahawanan dan potensi membangunkan perniagaan sendiri.
Selain itu, pelaksanaan program ini juga bertujuan bagi menggalakkan para peserta supaya lebih kreatif, berkeyakinan dan berani meneroka peluang perniagaan dalam industri kecantikan dan kesihatan.
Pada akhir program, sijil penyertaan telah disampaikan oleh Ketua Cawangan Pusat Belia, Dayang Hajah Siti Shamsiah binti Haji Sajali.
Sehubungan itu, pihak penganjur berharap program seumpama ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang dengan pengisian yang lebih luas dan bermanfaat.
Ia juga diharap agar para peserta bukan sahaja memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu, malah dapat mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dalam kehidupan seharian serta menjadikannya sebagai asas untuk meneroka peluang pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.
Di samping itu, program ini juga dihasrat agar dapat menyumbang kepada usaha melahirkan lebih ramai belia yang berkemahiran, berdikari, kreatif dan berdaya saing dalam industri kecantikan, kesihatan dan keusahawanan.