Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Mufti Kerajaan
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 6 September. - Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin, selaku ahli tetap Akademi Fiqh Islam Antarabangsa bertolak ke Jeddah, Kerajaan Arab Saudi hari ini bagi menghadiri seminar 'Peranan Pemimpin Agama dalam Menangani Keganasan Terhadap Wanita'.
Turut mendampingi beliau ke seminar tersebut ialah Pegawai Istinbat Kanan di Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Haji Muhammad Ahmad Roza bin Haji Md. Daud.
Seminar bertaraf antarabangsa ini dianjurkan oleh Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (International Islamic Fiqh Academy) dengan kerjasama Liga Dunia Islam (Muslim World League) dan akan berlangsung pada 7 September 2026 Masihi bersamaan 25 Rabiulawal 1448 Hijrah di sebuah hotel di Jeddah.
Seminar sehari ini bakal mengumpulkan pakar serta tokoh agama antarabangsa untuk membincangkan pelbagai kertas kerja utama mengenai konsep, punca, dan bentuk keganasan terhadap wanita.
Perbincangan juga menumpukan kepada peranan dan rujukan syarak dalam membetulkan kefahaman yang salah, serta strategi pendekatan kemasyarakatan, institusi, media, dan antarabangsa dalam pencegahan dan menangani isu berkenaan.
Penyertaan ini membuktikan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam dalam menyumbang pandangan syariah bagi isu-isu kemanusiaan dan sejagat di peringkat global.