TASKA, Sekolah Rendah YSHHB sambut Jubli Perak penubuhan

30 Og 2026 - 9:05am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 29 Ogos. - Taman Asuhan Kanak-kanak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (TASKA YSHHB) dan Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Sekolah Rendah YSHHB) hari ini mengadakan Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Perak sempena 25 Tahun Penubuhan TASKA YSHHB dan Sekolah Rendah YSHHB.

Majlis yang berlangsung di dewan Sekolah Rendah YSHHB berkenaan diadakan bagi memperingati perjalanan dan perkembangan TASKA YSHHB dan Sekolah Rendah YSHHB sepanjang 25 tahun dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti serta melahirkan generasi yang berilmu, berdisiplin dan berakhlak mulia.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah YSHHB.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat serta bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahannya yang dibacakan oleh dua pelajar Tahun 5 Venus Sekolah Rendah YSHHB, iaitu Dayang Nur Majeedah Bazirah binti Osman (pembaca ayat Al-Quran) dan Dayang Nur ‘Izzah As-Shafwah binti Awang Haji Mohamad Zul’izzi (pembaca terjemahan).

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sekolah YSHHB, Awang Haji Abdullah @ Dollah bin Haji Ahad, selaku Pengerusi Majlis.

Kemuncak acara Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Perak didahului dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis, yang menggariskan tema Sambutan Jubli Perak, iaitu ‘Dibina Dengan Dedikasi, Menyemai Wawasan, Menyantun Generasi’ jelas menggambarkan perjalanan, perjuangan dan impian sekolah yang telah ditempuhi selama 25 tahun.

Perjalanan berkenaan jelas Yang Berhormat, seharusnya menjadi inspirasi untuk kita bukan sahaja mengenang kejayaan yang telah dicapai, tetapi juga merancang masa depan yang lebih gemilang.

Dunia pendidikan tambah Yang Berhormat lagi, sentiasa berkembang, dan kita perlu memastikan bahawa anak-anak yang dididik hari ini mempunyai keupayaan untuk menghadapi cabaran abad ke-21 dengan ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai murni dan daya tahan yang tinggi.

Terang Yang Berhormat lagi, dalam dunia pendidikan yang sentiasa berkembang, TASKA YSHHB dan Sekolah Rendah YSHHB perlu terus beradaptasi dengan perubahan zaman dan bergerak ke hadapan dengan memperkasa kualiti pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan aspirasi negara dan tuntutan era globalisasi.

“Dalam konteks ini, saya amat yakin bahawa TASKA dan Sekolah Rendah Yayasan akan terus menjadi institusi yang unggul dalam melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak mulia, berfikiran kreatif serta mampu menyumbang kepada pembangunan Negara Brunei Darussalam,” ujar Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru yang menjadi tonggak utama dalam kejayaan pendidikan dan mengekalkan kepercayaan masyarakat selama lebih 25 tahun.

Penghargaan juga jelas Yang Berhormat lagi dizahirkan kepada semua mantan pemimpin-pemimpin sekolah yang pernah berkhidmat di sekolah berkenaan, di mana segala usaha, kepimpinan, pengorbanan dan komitmen yang telah dicurahkan oleh para mantan, adalah asas kukuh kepada kemajuan, kecemerlangan serta pelbagai pencapaian yang dinikmati oleh sekolah pada hari ini.

Dan kepada para penerima Anugerah 25 Tahun Perkhidmatan pada majlis yang penuh bermakna ini kata Yang Berhormat lagi, anugerah berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap kesetiaan, komitmen, dedikasi serta khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan dalam mendidik anak bangsa dan menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.

Sejurus itu, atur cara diteruskan dengan perasmian Sambutan Jubli Perak Penubuhan TASKA YSHHB dan Sekolah Rendah YSHHB, diikuti dengan acara pemotongan Kek Jubli Perak yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Majlis kemudian diteruskan dengan tayangan video montaj khas yang menelusuri sejarah penubuhan, perkembangan serta pencapaian TASKA YSHHB dan Sekolah Rendah YSHHB sepanjang 25 tahun penubuhannya dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya maju.

Acara juga turut diserikan dengan beberapa persembahan pentas daripada para pelajar TASKA YSHHB dan Sekolah Rendah YSHHB.

Turut menjadi pengisian bermakna semasa Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Perak berkenaan ialah penyampaian anugerah dan sijil penghargaan kepada mantan ketua pegawai eksekutif, pengetua dan penolong pengetua, serta tenaga pengajar yang telah berkhidmat selama 25 tahun dan lebih, sebagai pengiktirafan atas jasa dan sumbangan mereka kepada TASKA YSHHB dan Sekolah Rendah YSHHB yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Atur cara majlis diteruskan dengan lawatan ke Galeri Jubli Perak yang menampilkan dua segmen, iaitu Galeri Tautan Kasih : Nostalgia 25 Tahun dan Galeri Seni Lukisan.

Galeri Tautan Kasih memaparkan koleksi album dan video kenangan yang merakam sejarah penubuhan, perkembangan, pencapaian serta pelbagai aktiviti sepanjang 25 tahun, manakala Galeri Seni Lukisan mengetengahkan hasil karya para pelajar yang menggambarkan aspirasi dan pengalaman mereka terhadap sekolah melalui karya seni visual.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai.