Siaran Akhbar dan Infografik : Jabatan Urusan Haji
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 November. - Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Jabatan Urusan Haji sukacita memaklumkan bahawa sebuah agensi pelancongan telah diberikan kebenaran untuk mengendalikan perkhidmatan Pakej Umrah menggunakan Visa Pelancong Arab Saudi bagi tahun 2026 Masihi iaitu Syarikat Nafli Najah Travel and Tours Sdn. Bhd.
Dengan kebenaran yang diberikan tersebut, maka pada masa ini sebanyak 37 buah agensi pelancongan telah diberikan kebenaran untuk mengendalikan perkhidmatan Pakej Umrah menggunakan Visa Pelancong Arab Saudi bagi tahun 2026 Masihi.
Senarai penuh Agensi-agensi Pengendali Perkhidmatan Pakej Haji dan Pakej Umrah mengikut kategori pakej dan visa sepertimana dilampirkan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai yang berhasrat untuk menunaikan ibadat umrah adalah dikehendaki untuk mengikuti dan menghubung terus agensi-agensi pelancongan yang dibenarkan tersebut.
Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin mengingatkan agensi-agensi pelancongan yang tidak mempunyai kebenaran mengendalikan perkhidmatan Pakej Haji dan Pakej Umrah (Visa Umrah dan Visa Pelancong Arab Saudi) adalah tidak dibenarkan untuk mengendalikan Pakej Umrah termasuk membuat sebarang iklan dan tawaran mengenainya.
Maklumat mengenai senarai terkini agensi-agensi pelancongan yang dibenarkan untuk mengendalikan perkhidmatan Pakej Haji dan Pakej Umrah (Visa Umrah dan Visa Pelancong Arab Saudi) bolehlah disemak melalui laman sesawang rasmi Kementerian Hal Ehwal Ugama ‘www.mora.gov.bn’ atau Instagram ‘KHEU.BRUNEI’ atau menghubungi Jabatan Urusan Haji melalui talian +673 2384478 atau e-mel: ‘juh.kheu@mora.gov.bn’ bagi mendapatkan maklumat lanjut.