STJ Lambak terima kunjungan Unity Primary School Republik Singapura

1 Sep 2026 - 5:31am

Berita dan Foto : Ihsan Sekolah Tunas Jaya Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 31 Ogos. - Sekolah Tunas Jaya (STJ) Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) Lambak hari ini menerima kunjungan rombongan dari Unity Primary School, Republik Singapura dalam usaha memperkukuh hubungan kerjasama pendidikan antara kedua-dua sekolah.

Rombongan seramai 29 orang itu diketuai oleh Finella Goh, terdiri daripada lima orang guru dan 24 orang murid.

Rombongan berkenaan dialu-alukan oleh Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri, dan Guru Besar STJ PGGMB Lambak, Cikgu Noraidah binti Abdullah, serta Setiausaha Agung PGGMB, Awang Yakub bin Haji Abdul Rahman, dan Timbalan Setiausaha Agung (Luar Negara) PGGMB, Awang Haji Yahya bin Haji Mirasan, bersama guru-guru dan murid-murid sekolah berkenaan.

Dalam kunjungan tersebut, rombongan diberikan taklimat mengenai pengurusan dan pentadbiran sekolah, program kegiatan kokurikulum (CCA), aktiviti yang melibatkan guru dan murid serta pencapaian akademik sekolah.

Lawatan berkenaan bertujuan menjadi platform kerjasama antarabangsa antara kedua-dua sekolah, di samping memberi peluang kepada rombongan untuk melihat pelaksanaan program CCA murid, memahami budaya dan kebudayaan masyarakat Brunei serta mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama dalam bidang pendidikan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, guru-guru dari Unity Primary School turut diberikan taklimat mengenai sekolah dan berkesempatan meninjau pelaksanaan program CCA.

Sementara itu, murid-murid rombongan turut mengikuti pembelajaran di dalam kelas bersama rakan seliaan masing-masing bagi memberikan mereka pengalaman secara langsung mengenai suasana pembelajaran di sekolah berkenaan.

Lawatan tersebut diharap dapat memberikan impak positif kepada guru dan murid kedua-dua sekolah, khususnya dalam memperluas pengalaman, perkongsian pengetahuan serta mengukuhkan jaringan kerjasama dalam bidang pendidikan.