Semangat gotong-royong memastikan kesejahteraan penduduk kampung

1 Sep 2026 - 5:27am

Berita dan Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Serasa

MUARA, Isnin, 31 Ogos. - Kerja-kerja pemuliharaan jalan di Simpang 276, Kampung Serasa, iaitu laluan menuju ke Taman Riadah Bukit Tempayan Pisang, Serasa, telah dilaksanakan bermula seawal jam 7.00 pagi atas inisiatif Majlis Perundingan Kampung (MPK) Serasa dengan kerjasama dan sokongan anak buah Kampung Serasa.

Kerja-kerja yang dijalankan termasuk menyiangi dan membersihkan pokok, dahan serta tumbuh-tumbuhan yang menghalang laluan, di samping menimbus dan membaiki lubang-lubang pada permukaan jalan yang rosak.

Ahli-ahli MPK dan penduduk Kampung Serasa turut hadir bagi bergotong-royong menjayakan kerja-kerja pemuliharaan berkenaan.

Sumbangan berupa simen dan pasir daripada anak buah Kampung Serasa juga banyak membantu dalam melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan tersebut.

Jalan di Simpang 276 berkenaan bukan sahaja digunakan oleh penduduk untuk menuju ke Taman Riadah Bukit Tempayan Pisang, malah turut menjadi salah satu laluan menuju ke Masjid Rancangan Perpindahan Kampung Serasa, Muara.

Sehubungan itu, usaha pemuliharaan berkenaan diambil sebagai langkah sementara bagi memperbaiki keadaan dan meningkatkan keselamatan laluan berkenaan sementara menunggu kerja-kerja pemuliharaan selanjutnya daripada jabatan yang berkenaan.

Ketua Kampung Serasa, Awang Abdurrahman bin Haji Othman, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua anak buah Kampung Serasa yang telah hadir, memberikan sumbangan serta meluangkan masa dan tenaga dalam menjayakan kerja-kerja gotong-royong tersebut.

Semangat bergotong-royong, bekerjasama dan saling membantu seperti ini amatlah dihargai dan diharapkan akan terus dipupuk demi menjaga kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan Kampung Serasa.

InsyaaAllah, usaha-usaha seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kemampuan, demi kepentingan serta keselesaan penduduk kampung.