Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani
Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi
MENTIRI, Isnin, 31 Ogos. – Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kenegaraan, Seksyen Kenegaraan dan Kemasyarakatan, Bahagian Komunikasi Strategik pagi tadi mengadakan Program Taklimat Kenegaraan 'Raja Kita, Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam' bertempat di Dewan Jubli Mutiara, Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri, di sini.
Taklimat disampaikan oleh Pemangku Ketua Bahagian Komunikasi Strategik, Dayang Mufidah binti Abdul Hakim kepada seramai 172 penuntut Tahun 7.
Turut hadir, Timbalan Pengetua (Pentadbiran), Dayang Hajah Radiah binti Haji Abd. Latif, serta para tenaga pengajar.
Selain mendengarkan taklimat, para penuntut juga menyaksikan tayangan video animasi 'Tatacara Menaikkan Bendera' serta berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan bagi menguji dan meningkatkan kefahaman mengenai kandungan taklimat.
Taklimat diakhiri dengan penyampaian hadiah Kuiz Kenegaraan oleh Timbalan Pengetua (Pentadbiran) sekolah berkenaan.
Program berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyemai cinta terhadap raja, agama, bangsa dan negara.
Selain itu, ia juga dihasratkan akan dapat mengukuhkan lagi semangat solidariti, patriotik dan kenegaraan yang tinggi dalam diri penuntut.