Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
RIMBA, Isnin, 31 Ogos. – Seramai 210 penuntut Sanah 10 Fast Track dan Sanah 11 diraikan dalam Majlis Haflut Takharruj dan Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Sekolah Arab SHHB) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Sekolah Arab SHHB, hari ini.
Majlis kali ini menyaksikan penghargaan kepada Awang Mohamed Azfar bin Mohamed Sirazzuddeen yang menerima Hadiah Khas Pelajar Mithali Tahun 2025.
Selain itu, bagi Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE 'O' Level Tahun 2025, seorang penuntut menerima hadiah Pelajar Cemerlang, manakala 39 penuntut lagi menerima hadiah Pelajar Terbaik.
Sementara itu, bagi Peperiksaan Sijil Peperiksaan Ugama Brunei (SPUB) Tahun 2025 pula, seramai 124 penuntut menerima Hadiah Pelajar Terbaik, manakala 13 pelajar menerima Hadiah Pelajar Cemerlang.
Turut menerima pengiktirafan ialah 39 penuntut Terbaik Setiap Kelas bagi kedua-dua peperiksaan berkenaan.
Penyampaian hadiah berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Dayang Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pengetua Sekolah Arab SHHB, Awang Haji Norhisyam bin Haji Mohd. Noor, selaku Pengerusi Majlis, menzahirkan rasa syukur kerana dapat meraikan seramai 210 penuntut yang telah menamatkan satu peringkat penting dalam perjalanan pendidikan mereka.
Beliau berkata, masa berlalu begitu pantas dan perjalanan para penuntut yang seakan-akan baharu melangkah masuk sebagai penuntut Sanah 5 kini telah sampai ke penghujung persekolahan hingga Sanah 11 dan sepanjang tempoh berkenaan, pihak sekolah menyaksikan perkembangan para penuntut bukan sahaja dari segi ilmu pengetahuan, malah kematangan dan pengalaman yang membentuk mereka untuk melangkah ke fasa kehidupan seterusnya.
Sehubungan itu, majlis berkenaan turut menjadi wadah untuk memberikan pengiktirafan kepada penuntut terbaik setiap kelas, penuntut yang mencapai keputusan cemerlang dalam Peperiksaan SPUB dan Brunei-Cambridge GCE 'O' Level, serta penerima Anugerah Pelajar Mithali.
Dalam ucapannya, Awang Haji Norhisyam turut menekankan bahawa pencapaian dalam Peperiksaan SPUB pada tahun ini menunjukkan peningkatan yang positif, sekali gus menjadi dorongan kepada pihak sekolah dan para penuntut untuk terus memperkukuh usaha serta meningkatkan pencapaian pada masa akan datang.
Beliau seterusnya menyeru para penuntut agar membawa bersama ilmu, iman dan akhlak ketika melangkah ke peringkat seterusnya, dengan menegaskan bahawa ilmu membimbing pemikiran, iman menentukan arah kehidupan, manakala akhlak mencerminkan nilai diri.
Para penuntut juga dinasihatkan supaya menjadikan pencapaian orang lain sebagai inspirasi untuk terus maju tanpa membandingkan diri sehingga melemahkan semangat, kerana setiap individu mempunyai perjalanan, kemampuan dan masa kejayaan yang berbeza.
Beliau turut mengingatkan para penuntut agar memelihara asas pendidikan agama yang telah dibekalkan sepanjang berada di sekolah, terus mendalaminya serta menjadikannya panduan dalam membuat pilihan dan keputusan dalam kehidupan.
Bagi penuntut yang belum menerima pengiktirafan pada majlis berkenaan, Awang Haji Norhisyam berpesan supaya tidak berputus asa kerana sesuatu keputusan peperiksaan tidak menentukan keseluruhan masa hadapan.
Sebaliknya katanya lagi, para penuntut perlu mengenali potensi diri, memperbaiki kelemahan dan terus melangkah dengan penuh keyakinan. Dalam pada itu, penghargaan turut dirakamkan kepada ibu bapa dan penjaga atas segala doa, kesabaran, pengorbanan dan bimbingan yang diberikan sepanjang perjalanan pendidikan anak-anak.
Penghargaan yang sama tambahnya, turut ditujukan kepada para asatizah atas segala usaha mendidik dan membimbing para penuntut dengan penuh amanah serta kesungguhan, yang diharapkan terus memberikan manfaat dan ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Menyentuh mengenai cabaran masa hadapan, beliau mengingatkan para penuntut bahawa dunia terus berubah dan menuntut generasi muda untuk sentiasa menambah ilmu serta kemahiran.
Sehubungan itu jelasnya lagi, kemajuan teknologi hendaklah dimanfaatkan secara bijaksana tanpa mengabaikan agama, adab dan amanah. Sebagai generasi yang turut mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035, para penuntut diseru untuk terus memperkukuh ilmu, kemahiran dan integriti serta memberikan sumbangan yang bermakna kepada agama, masyarakat dan negara.
Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada para penuntut yang mencapai kecemerlangan dalam pelbagai kategori yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, sebelum diakhiri dengan penyampaian Hadiah Khas Pelajar Mithali Tahun 2025.
Penganjuran majlis berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Sekolah Arab SHHB dalam menghargai pencapaian dan kecemerlangan penuntut, di samping memartabatkan pendidikan Islam dan bahasa Arab.
Majlis berkenaan turut menjadi pemangkin kepada para penuntut untuk terus melakar kecemerlangan pada peringkat pengajian yang lebih tinggi, seterusnya menyumbang kepada pembentukan generasi berilmu, berkemahiran, berakhlak dan berintegriti demi kemajuan agama, masyarakat dan negara.