Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 3 September. - Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JB BSB) melalui Seksyen Penguatkuasaan telah mencatatkan tiga kes pelanggaran di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian (Penggal 30), Bab 12(1) semasa melaksanakan Operasi Bersih 10/2026 di beberapa kawasan di bawah kawalan Bandaran pada 20 Ogos 2026.
Hasil daripada operasi berkenaan, tindakan denda kompaun telah dikenakan ke atas sebuah syarikat dan dua individu seperti berikut, iaitu kes pertama, sebuah syarikat, Sibana Sdn. Bhd. dikenakan denda kompaun sebanyak BND500 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12 (1)(a), iaitu meninggalkan bekas kabinet, kotak dan ‘paper rod’ di kawasan belakang premis Sibana Sdn. Bhd., Bangunan Haji Daud, Gadong.
Manakala kes kedua pula, iaitu seorang individu, Awang Mohammad Adi Danish bin Mohammad Khairul Nazri telah dikenakan denda kompaun sebanyak BND300 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12 (1)(e), iaitu membuang abu rokok dan puntung rokok di kawasan depan Bangunan Little Soho, Batu Bersurat.
Sementara kes ketiga, iaitu seorang individu, Awangku Mohammad Aizat Shakeel bin Pengiran Mohamad Khairul Sherzeman telah dikenakan denda kompaun sebanyak BND300 setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12 (1)(e), iaitu membuang abu rokok dan puntung rokok di kawasan depan Bangunan Little Soho, Batu Bersurat.
JB BSB ingin memperingatkan orang ramai, pihak syarikat, serta pemilik premis perniagaan bahawa kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30), tindakan tegas boleh diambil dengan denda maksimum jika sabit kesalahan adalah sebanyak BND30,000, atau hukuman penjara tidak melebihi tempoh 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai dan pihak peniaga disarankan agar tidak membuang, melonggokkan, atau meninggalkan sebarang sampah-sarap mahupun sisa perniagaan di kawasan awam. Sebarang aduan atau maklumat mengenai kesalahan kebersihan boleh disalurkan terus ke Talian Hotline Seksyen Penguatkuasaan di +673 7291122.