Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 26 Ogos. - Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JB BSB) melalui Seksyen Penguatkuasaan telah mencatatkan tiga kes pelanggaran di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30), Bab 12(1) semasa melaksanakan Operasi Bersih 09/2026 di beberapa kawasan di bawah kawalan bandaran pada 11 Ogos 2026.
Hasil daripada operasi berkenaan, tindakan denda kompaun telah dikenakan ke atas sebuah syarikat dan dua individu seperti berikut, iaitu kes pertama, Syarikat Fateh Sdn. Bhd. telah dikenakan denda kompaun sebanyak BND500 di bawah Bab 12 (1)(a) kerana kesalahan meninggalkan bekas paip plastik terpakai di kawasan belakang premis Bangunan Pg Haji Menudin Complex, Batu Bersurat, Bandar Seri Begawan.
Manakala kes kedua pula, iaitu seorang individu, Md. Ismail Hossen telah dikenakan denda kompaun sebanyak BND300 di bawah Bab 12 (1)(e) kerana kesalahan membuang abu dan puntung rokok di kawasan belakang Bangunan SKH, Kampung Kiarong.
Sementara kes ketiga juga seorang individu, Muhammad Albarr telah dikenakan denda kompaun sebanyak BND300 di bawah Bab 12 (1)(e) kerana kesalahan membuang abu dan puntung rokok di kawasan belakang Bangunan SKH, Kampung Kiarong.
JB BSB ingin memperingatkan orang ramai, pihak syarikat, serta pemilik premis perniagaan bahawa kebersihan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30), tindakan tegas boleh diambil dengan denda maksimum jika sabit kesalahan adalah sebanyak BND30,000 atau hukuman penjara tidak melebihi tempoh 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Orang ramai dan pihak peniaga disarankan agar tidak membuang, melonggokkan, atau meninggalkan sebarang sampah-sarap mahupun sisa perniagaan di kawasan awam.
Sebarang aduan atau maklumat mengenai kesalahan kebersihan boleh disalurkan terus ke Talian Hotline Seksyen Penguatkuasaan di +673 7291122.