Sabar lahirkan kekuatan, kematangan

6 Sep 2026 - 6:30am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 September. - Sabar ibarat suluh yang menerangi jalan ketika kita berada dalam kegelapan. Apabila kita bersabar kerana Allah, sebenarnya kita tidak pernah bersendirian. Allah mengetahui setiap langkah yang kita ambil walaupun tiada seorang pun manusia yang mengetahuinya.

Ujian bukan tanda Allah membenci kerana tidak semua ujian datang untuk menghancurkan kita. Ada ujian yang datang untuk menguatkan kita atau mendekatkan kita kepada Allah. Boleh jadi itulah cara Allah mendidik kita. Sabar juga bukan bermaksud duduk diam.

Demikian antara inti pati tazkirah bertajuk 'Kesabaran Suluh Kejayaan' yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abd. Wahab yang juga Alumni Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) bagi menyerikan Malam Munajat anjuran KHEU Kali Ke-245, malam tadi.

Menurut Awang Muhammad Tsuufiy, sabar ialah terus melakukan perkara yang benar walaupun hati kita sedang berat. Apabila seseorang belajar bersabar, sekurang-kurangnya tiga perkara besar akan lahir dalam dirinya. Kongsi beliau, pertama, sabar melahirkan kekuatan. Kedua, sabar melahirkan kematangan. Ketiga, sabar membawa kepada kejayaan.

"Dahulu, seseorang yang mahu mendapatkan ilmu perlu mencari guru tetapi hari ini, ilmu berada di hujung jari. Dahulu, hiburan mempunyai batas tertentu tetapi hari ini, hiburan datang kepada kita tanpa henti. Inilah antara perjuangan generasi hari ini. Kita memerlukan sabar untuk menjaga masa, untuk menundukkan keinginan, untuk memilih perkara yang bermanfaat, dan untuk meninggalkan perkara yang melalaikan," jelasnya.

Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah para siswa graduan Haflut Takharruj 2026, ITQSHHB; Alumni ITQSHHB serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja KHEU dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.

Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Awang Muhammad Hassanul Jamsyir Ali bin Jais, graduan Haflut Takharruj 2026, ITQSHHB yang bersiaran dari musolla institut berkenaan.

Ini diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Awang Muhamad Faiz Najwan bin Muhamad Saleh, graduan Haflut Takharruj 2026, ITQSHHB, seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Awang Ahmad Syarif Ali bin Achmad Fahri, graduan Haflut Takharruj 2026, ITQSHHB.

Sejurus selesai tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Awang Hadif Nazhan bin Idris, graduan Haflut Takharruj 2026, ITQSHHB. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Awang Solahuddin bin Bohari, graduan Haflut Takharruj 2026, ITQSHHB.

Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Semoga segala amalan kerohanian dan Doa Munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut : http://tiny.cc/munajatkheu.