Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman
Foto : Azmah Haji Ahad
BERAKAS, Sabtu, 5 September. - Dialog Teluk Brunei Ke-12, 2026, anjuran Angkatan Sasterawan dan Sasterawani (ASTERAWANI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kumpulan Putra Seni (KPS), yang berlangsung selama dua hari, di Balai Sarmayuda DBP berakhir hari ini dengan menyaksikan penyampaian Resolusi Dialog.
Majlis Penutup / Penangguhan Dialog Teluk Brunei Ke-12 tersebut disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Resolusi Dialog Teluk Brunei Ke-12 dibacakan oleh Ahli ASTERAWANI Brunei Darussalam, Dr. Hajah Kathrina binti Dato Paduka Haji Mohd. Daud.
Antara perkara yang dirumuskan ialah memelihara dan memartabatkan bahasa dan sastera dalam mengangkat jati diri sebagai warisan bersama berpandukan akar sejarah ekologi dan sosial wilayah teluk Brunei termasuk memastikan kesinambungan usaha melalui pembinaan pelapis yang berwibawa dan komited melalui penyediaan mekanisme dan wadah bimbingan yang berterusan.
Selain itu, mengusahakan kajian dan penerbitan karya sastera terhadap persamaan naratif serantau; memperkukuh kerjasama strategik dan sinergi yang berterusan antara institusi sastera di wilayah teluk Brunei serta di peringkat antarabangsa melalui wadah media baharu bagi melestarikan hak milik budaya dan sejarah tanah air serta meningkatkan usaha dan membuka tawaran penulisan dalam majalah, jurnal dan wadah lain termasuk teknologi baharu di wilayah teluk Brunei.
Dengan tema 'Merentas Akar dan Sempadan : Kesusasteraan, Identiti dan Realiti Sosial Teluk Brunei', dialog menjadi wadah pertemuan penggiat bahasa, sastera dan budaya dalam memperkukuh hubungan serta jaringan kesusasteraan serantau, khususnya dalam kalangan negara dan wilayah di sekitar Teluk Brunei.
Sepanjang dua hari penganjurannya, dialog mengetengahkan tiga sesi pembentangan kertas kerja dan sesi soal jawab, dengan penyertaan pembentang dari Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.
Penganjuran Dialog Teluk Ke-12 dihasratkan dapat meneruskan kesinambungan hubungan kesusasteraan dan kebudayaan yang telah terjalin sejak hampir empat dekad, di samping memperkukuh jaringan kerjasama antara penggiat bahasa, sastera dan budaya di rantau ini.