Siaran Akhbar dan Foto : Revitalize Belait
BELAIT, Selasa, 1 September. - Program peningkatan kemahiran Kecerdasan Buatan (AI) bagi pemilik Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Intisar, Pejabat Daerah Belait (PDB), Jabatan Daerah Belait (JDB), dengan penyertaan seramai 44 peserta.
Program berkenaan merupakan latihan AI kedua yang diadakan di Daerah Belait di bawah inisiatif Revitalize Belait, susulan sesi sulung yang memfokuskan golongan belia yang diadakan pada Julai lalu.
Program dianjurkan oleh PDB, JDB dengan kerjasama Revitalize Belait dan CoreJana Solutions Sdn. Bhd., yang menghimpunkan rakan kerjasama daripada pihak kerajaan, masyarakat dan sektor swasta bagi menyokong pemilik PMKS di Daerah Belait.
Sesi latihan berkenaan dikendalikan oleh Big BWN Project dan merupakan sebahagian daripada Program AIM ASEAN (AI for MSME Advancement in ASEAN), iaitu satu inisiatif serantau yang disokong oleh ASEAN Foundation, Google.org, AVPN dan Asian Development Bank (ADB).
Sokongan serta kerjasama di peringkat tempatan turut diterima daripada Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Brunei Innovation Lab (BIL) dan Digital Brunei.
Big BWN Project komited dalam memperkasa masyarakat setempat, golongan belia, wanita dan usahawan mikro di seluruh negara melalui pelbagai inisiatif pembangunan masyarakat, pemerkasa belia, pembinaan kapasiti, celik digital serta pembangunan mampan.
Fokus utama projek berkenaan adalah menyediakan platform yang mudah diakses bagi membantu perniagaan akar umbi dan perniagaan dari rumah berkembang, berinovasi dan berdaya maju, di samping membina daya tahan dalam ekonomi tempatan.
Menurut Pengasas Big BWN Project, Dayang Noor Hafizah binti Haji Rashid, sesi latihan berkenaan merupakan sebahagian daripada Program AIM ASEAN yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat perniagaan tempatan mengenai AI.
Jelasnya lagi, melalui latihan secara praktikal dan berteraskan amali, program berkenaan membekalkan para usahawan, khususnya di peringkat akar umbi, dengan kemahiran asas untuk menggunakan AI secara selamat dan berkesan dalam meningkatkan produktiviti, melancarkan operasi serta mengembangkan perniagaan.
Sementara itu, Sector Lead for Digital Knowledge and Economy, Revitalize Belait merangkap Director of CoreJana Solutions Sdn. Bhd., Malai Masrhiem, berkata PMKS merupakan antara tonggak utama ekonomi tempatan dan usaha melengkapkan para pengusaha dengan kemahiran AI secara praktikal merupakan langkah seterusnya dalam memperkasa masyarakat di Daerah Belait.
Menurutnya lagi, program berkenaan memberikan pemilik perniagaan kemahiran dan alat yang boleh digunakan dalam membantu mereka bekerja dengan lebih cekap, meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan serta kekal berdaya saing.
Inisiatif berkenaan juga katanya, mencerminkan kerjasama erat antara pihak kerajaan, masyarakat dan sektor industri yang diperlukan bagi menyokong kemajuan Daerah Belait.
Program peningkatan kemahiran AI berkenaan merupakan program kedua yang dilaksanakan di Daerah Belait di bawah tonggak Revitalize Belait's Digital Knowledge & Economy.
Ia susulan program latihan AI bagi lepasan sekolah dan pencari kerja yang diadakan di Seria Energy Lab pada Julai 2026.
Kedua-dua sesi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Revitalize Belait dalam meningkatkan literasi AI dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat di Daerah Belait, daripada golongan belia hingga pemilik perniagaan tempatan.
Sesi tersebut juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan lebih meluas Program AIM ASEAN di Negara Brunei Darussalam, yang menyasarkan seramai 550 PMKS di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Disember 2026.
Keutamaan diberikan kepada perniagaan mikro dan perniagaan dari rumah, perusahaan yang diterajui wanita, serta perniagaan dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman, pertanian dan pelancongan.