Platform perkukuh hubungan masyarakat, rancakkan ekonomi setempat

7 Sep 2026 - 5:50am

Berita dan Foto : Nurdiyanah Rajami

TUTONG, Ahad, 6 September. - Acara Remember The Buster Autoshow Vol.3 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Udal dan Penapar, telah diadakan di kawasan Kompleks Pasarana dan Tamu Serambangun, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada acara berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, yang seterusnya menyempurnakan acara berkenaan.

Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong.

Acara berkenaan turut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 85 buah kenderaan daripada para peminat dan komuniti automotif, sekali gus menyediakan platform bagi mereka untuk berkongsi minat, pengalaman serta mempamerkan kenderaan masing-masing.

Penganjuran acara berkenaan turut menjadi wadah dalam mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, sebanyak 65 buah reruai jualan turut disediakan yang menawarkan pelbagai jenis makanan, minuman dan produk tempatan. Penyediaan reruai-reruai berkenaan memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk mempromosi serta memasarkan produk dan hasil keluaran mereka kepada para pengunjung.

Penganjuran acara berkenaan turut memberikan impak positif kepada ekonomi setempat melalui peluang menjana pendapatan dan memperluas pasaran bagi para peniaga tempatan.

Kehadiran para pengunjung juga berpotensi meningkatkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan tempatan, sekali gus menyokong perkembangan aktiviti ekonomi serta penglibatan komuniti setempat.

Secara keseluruhannya, acara berkenaan bukan sahaja menyemarakkan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Tahun 2026, malah turut menjadi platform bagi memperkukuh hubungan kemasyarakatan, menyokong peniaga tempatan serta merancakkan aktiviti ekonomi dan penglibatan komuniti setempat.