Platform peniaga tempatan mengetengahkan produk, perkhidmatan menarik

29 Og 2026 - 5:09am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Pg. Nur Hafilah Pg. Osman, Aimi Sani

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 28 Ogos. – Festival Kampung Kitani (FKK) yang berlangsung selama lima hari bermula 26 hingga 30 Ogos 2026 menjadi platform bagi para peniaga tempatan mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka, di samping menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk dinikmati oleh orang ramai.

Festival yang berlangsung dari pukul 4.00 petang hingga 11.00 malam berkenaan telah dirasmikan pada Khamis, 27 Ogos 2026 oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, juga Ketua Kampung Belimbing, Daerah Brunei dan Muara.

Menurut pihak penganjur Starbugs Event Management, festival berkenaan diharapkan dapat membuka peluang kepada para peniaga tempatan untuk menambah pendapatan serta mengembangkan perniagaan masing-masing. Selain itu, ia turut memberi peluang khususnya kepada anak-anak muda tempatan untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang perniagaan.

Di samping itu, festival berkenaan juga diharapkan mendapat sokongan daripada pelbagai pihak dan agensi dalam membantu para peniaga tempatan meningkatkan taraf perniagaan serta mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih baik.

Salah seorang peniaga tempatan, Dayang Nurzawanah binti Zaini atau lebih mesra dengan panggilan Zawanah yang menjual ambuyat berendam di bawah jenama 'By WZ', ketika ditemui berkata bahawa sambutan pada hari pertama dan kedua festival berkenaan adalah amat menggalakkan.

Menurutnya lagi, jumlah pengunjung yang datang begitu ramai sehingga menyebabkan barisan panjang, khususnya daripada mereka yang ingin mencuba hidangan ambuyat berendam. Malah, terdapat juga pelanggan tetap yang sanggup beratur selama dua hari berturut-turut.

“Alhamdulillah, sambutan hari pertama dan kedua memang luar biasa. Ramai pengunjung yang datang dan kami sangat bersyukur kerana barisan pun panjang disebabkan ramai yang ingin mencuba ambuyat berendam.

“Terdahulu, ambuyat itu disejukkan dahulu, kemudian kami menyediakan kuah dan cacah yang dicampurkan terus bersama ambuyat. Jadi, kami cuba memberikan peluang kepada semua orang untuk merasai ambuyat dalam cara yang lebih cepat dan mudah,” ujarnya lagi.

Menceritakan mengenai keunikan ambuyat berendam, Dayang Nurzawanah menjelaskan bahawa hidangan berkenaan mempunyai konsep yang berbeza daripada ambuyat biasa. Jika ambuyat yang dihidangkan panas lazimnya dimakan menggunakan candas, ambuyat berendam pula dinikmati menggunakan sudu.

FKK turut dimeriahkan lagi dengan pelbagai aktiviti kekeluargaan, antaranya permainan ‘bouncer’, Animal Pet Wonder dan pelbagai aktiviti lain. Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman yang ditawarkan oleh para peniaga tempatan.

Menariknya, festival berkenaan turut menampilkan warung-warung makan lama yang menghidupkan suasana kampung, sekali gus memberikan pengalaman yang unik kepada para pengunjung.