Pilih Islam sebagai pegangan hidup

12 Sep 2026 - 5:50am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

KAMPUNG PULAIE, Jumaat, 11 September. - Menurut statistik Pusat Da’wah Islamiah (PDI), seramai 189 orang telah memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam bagi tempoh awal Januari hingga 10 September 2026, dengan 98 orang daripadanya merupakan penduduk dari Daerah Brunei dan Muara.

Pada hari ini, seorang lelaki daripada puak Murut, Danish Razean bin Abas, 24 tahun, memeluk Agama Islam dalam satu Majlis Pengislaman yang diadakan di Dewan Persidangan, PDI), Kampung Pulaie, petang tadi.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh saudara baharu berkenaan di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Da’wah (Pengislaman), PDI.

Setelah melafazkan dua kalimah syahadah, beliau kini dikenali dengan nama Islam sebagai Muhammad Danish Razean bin Abas. Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian cenderahati daripada PDI kepada saudara baharu yang diraikan.

Penyampaian tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr. Awang Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Awang Haji Ahmad juga Pengarah Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis Pengislaman tersebut turut diserikan dengan Dikir Marhaban sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.