PGGMB anjur bengkel Penggunaan WhatsApp Secara Efektif

7 Sep 2026 - 5:03am

Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 6 September. - Dalam usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam penggunaan aplikasi WhatsApp secara lebih selamat dan terancang, Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) telah menganjurkan Bengkel Penggunaan Aplikasi WhatsApp Secara Efektif dan Efisien bagi Jawatankuasa Tertinggi, Jawatankuasa Tadbir dan kakitangan PGGMB, hari ini.

Bengkel yang diadakan secara berfasa itu disertai oleh seramai 15 orang ahli, termasuk Yang Dipertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri.

Tenaga pengajar ialah Awang Bahrin bin Dato Paduka Haji Yusof, salah seorang ahli PGGMB yang mempunyai kemahiran dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

Antara objektif bengkel berkenaan adalah untuk meningkatkan keupayaan peserta dalam mengurus penyimpanan (‘storage’) dan penggunaan data WhatsApp, memperkukuh aspek keselamatan dan privasi akaun WhatsApp, serta menyesuaikan tetapan aplikasi agar lebih mudah dan selesa digunakan.

Selain itu, bengkel tersebut turut bertujuan untuk membolehkan para peserta mengurus perbualan (‘chat’) dan menggunakan ciri-ciri praktikal WhatsApp dengan lebih berkesan, di samping mengamalkan penggunaan aplikasi berkenaan secara selamat dan teratur.

Antara kandungan yang disampaikan termasuk pengenalan kepada aplikasi WhatsApp, pengurusan penyimpanan (‘storage’), pembersihan ruang penyimpanan, muat turun automatik, privasi dan keselamatan, tetapan privasi, kebolehcapaian (‘accessibility’), penggunaan ciri-ciri ‘chat’ serta sesi soal jawab.

Bengkel tersebut diharap dapat memberikan manfaat kepada para peserta, khususnya dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran menggunakan WhatsApp secara lebih bijaksana, efektif dan selamat dalam urusan seharian.