Pesuruhjaya Interim CSB terima Anugerah ACRA 2026

5 Nov 2026 - 5:41am

Siaran Akhbar dan Foto : Cyber Security Brunei

BANGKOK, THAILAND, Rabu, 4 November. - Cyber Security Brunei (CSB) dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Pesuruhjaya Interim CSB, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis telah menerima Anugerah AJCCA Cyber Resilience Awards (ACRA) 2026 semasa Majlis Makan Malam dan Resepsi yang diadakan bersempena dengan Persidangan Keselamatan Siber ASEAN-Jepun (AJCCA) Kali Ke-3 Tahun 2026 di Bangkok, Thailand.

Pengiktirafan ini mencerminkan kepimpinan beliau dalam memperkukuh tahap keselamatan siber Negara Brunei Darussalam (NBD), meningkatkan daya tahan siber dan kesiapsiagaan dalam menangani insiden serta menggalakkan kerjasama serantau dan pembangunan keupayaan.

Usaha-usaha ini menyokong komitmen CSB dalam memperkukuh keupayaan keselamatan siber negara dan mempromosikan persekitaran digital yang lebih selamat serta berdaya tahan untuk masyarakat.

Anugerah ACRA 2026 mengiktiraf sumbangan dalam bidang daya tahan siber berdasarkan lima nilai teras ASEAN-Japan Cybersecurity Community Alliance (AJCCA), iaitu Kepimpinan Dinamik, Daya Tahan, Kebolehpercayaan, Rasa Hormat dan Kerjasama.

Sebagai salah satu daripada 10 komuniti amalan Ahli AJCCA, Brunei Cybersecurity Association (BCSA) telah memilih wakil juara negara berdasarkan kecemerlangan dalam bidang keselamatan siber yang telah ditunjukkan dan disahkan.

CSB kekal komited dalam memperkukuh keupayaan keselamatan siber negara, meningkatkan kesedaran orang ramai serta memupuk kerjasama serantau bagi menyokong masa depan digital NBD yang selamat dan berdaya tahan.