Pesta Pantai Lumut akan diadakan 6 November ini

4 Nov 2026 - 4:19am

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. IbrahimFoto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Lumut

BELAIT, Selasa, 3 November. - Pesta Pantai Lumut akan diadakan selama tiga hari bermula 6 November 2027 dan akan mengambil tempat di Peranginan Pantai Lumut.

Pesta tersebut merupakan anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Lumut 2 dengan kerjasama MPK Lumut 1, Lumut 3, Sungai Liang, Rancangan Perumahan Negara Lumut Kawasan 1, 2 dan 3.

Antara pengisian pesta berkenaan ialah aktiviti perniagaan bagi memberi peluang kepada peniaga kecil dan sederhana berkecimpung dalam bidang perniagaan; Aktiviti kebudayaan seperti persembahan Sarunai dan Tambur, Kugiran dan aktiviti perkhemahan serta pelbagai lagi aktiviti menarik.

Ketua Kampung Lumut II, Awang Haji Khairdon bin Haji Dahlan selaku Pengerusi Pesta Pantai Lumut 2026 semasa ditemu bual Pelita Brunei menjelaskan Pesta Pantai Lumut 2026 merupakan kali ketiga ia diungkayahkan.

Antara lain jelasnya, pesta tersebut diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim bersama Ahli Jawatankuasa MPK sekali gus beramah mesra bersama penduduk Mukim Liang.

Di samping itu, ia juga bertujuan bagi menjadikan Mukim Liang sebagai salah satu tarikan pelancongan khususnya pelancongan tempatan dan luar negara dan juga sebagai persiapan bagi Tahun Melawat Brunei 2027 di mana Pesta Pantai Lumut 2027 akan dimasukkan dalam Jadual Tahun Melawat Brunei 2027.