Penyerahan semula Taman Riadah Tasik Sarubing

5 Nov 2026 - 6:12am

Oleh : Nurdiyanah Rajami

Foto : Nurdiyanah Rajami, Ihsan Majlis Perundingan Kampung Belimbing

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 November. - Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belimbing dengan kerjasama Gurkha Security Unit (GSU), pagi tadi, menganjurkan Majlis Penyerahan Semula Taman Riadah Tasik Sarubing, Kampung Belimbing setelah selesai pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan yang dilaksanakan oleh pihak GSU.

Majlis penyerahan semula ini merupakan satu inisiatif kerjasama antara MPK Belimbing dan GSU dalam usaha memperindah serta meningkatkan kemudahan taman riadah berkenaan agar dapat dimanfaatkan dengan lebih selesa, selamat dan berkesan oleh penduduk kampung serta orang ramai.

Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampung Belimbing.

Turut hadir, Komandan GSU, Leftenan Kolonel (U) Awang Haji Habil bin Haji Adol dan Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Haji Nordin bin Haji Duraman, diikuti dengan sesi perkongsian mengenai perkongsian mengenai projek kerja-kerja penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh pihak GSU.

Kemuncak majlis telah menyaksikan sesi pemotongan reben perasmian bagi menandakan Majlis Penyerahan Semula Taman Riadah Tasik Sarubing, Kampung Belimbing dan juga diikuti dengan perasmian jambatan besar di taman riadah berkenaan di mana disempurnakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Daud dan juga Leftenan Kolonel (U) Awang Haji Habil.

Adapun penganjuran majlis berkenaan juga sebagai menandakan sebuah pengiktirafan sumbangan dan kerjasama GSU dalam melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan Taman Riadah Tasik Sarubing termasuk jambatan besar demi manfaat masyarakat setempat.

Dengan terlaksananya projek kerja-kerja penambahbaikan tersebut, ia sememangnya dihasrat bagi terus memastikan kemudahan riadah dapat dimanfaatkan semula oleh penduduk kampung dan orang ramai.

Di samping itu, ia juga bertujuan untuk meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat dengan menyediakan kawasan riadah yang lebih teratur, bersih dan kondusif untuk aktiviti rekreasi bersama keluarga serta komuniti.

Selain itu, langkah positif sedemikian juga dapat memupuk semangat kerjasama dan perpaduan antara MPK Belimbing, GSU dan penduduk kampung melalui usaha bersama dalam menjaga kemudahan awam.

Dalam pada itu, MPK Belimbing turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada GSU atas kerjasama, komitmen dan sumbangan tenaga dalam menjayakan kerja-kerja penambahbaikan taman riadah tersebut.

Dengan penyerahan semula Taman Riadah Tasik Sarubing ini diharap akan terus menjadi salah satu kemudahan rekreasi yang bermanfaat kepada penduduk Kampung Belimbing dan masyarakat sekitarnya, di samping menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.