Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi
Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
MUKIM MENTIRI, Jumaat, 11 September. - Keprihatinan dan semangat amal jariah sekumpulan pesara Pegawai Kanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) terus dizahirkan menerusi sumbangan sebanyak BND10,000 kepada Masjid An-Na’im, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Panchor, Mengkubau, hari ini.
Sumbangan tersebut merupakan hasil kutipan amal jariah Kumpulan Gloria Jeans, khusus bagi membantu pembinaan tempat letak kereta masjid berkenaan, sekali gus meningkatkan kemudahan dan keselesaan para jemaah.
Derma berkenaan disampaikan oleh Leftenan Kolonel (B) Haji Nasir bin Haji Momin kepada Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Saifullah bin Haji Rosli, yang diadakan selepas selesai menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat.
Hadir menyaksikan penyerahan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Penaung Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid An-Na'im, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Mohammad bin Haji Daud; Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri; ketua-ketua dan pemangku ketua kampung di bawah RPN Kampung Panchor, Mengkubau serta para ahli Kumpulan Gloria Jeans.
Usaha mengumpulkan sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kumpulan berkenaan dalam menyumbang kepada kemudahan masyarakat, khususnya para jemaah masjid.
Projek pembinaan tempat letak kereta Masjid An-Na’im melibatkan kawasan seluas kira-kira 10,000 meter persegi, yang dijangka mampu menampung lebih 200 buah kereta apabila siap nanti.
Tabung amal jariah bagi projek berkenaan mula dibuka pada Mei 2026 dan akan berlangsung sehingga Mei tahun hadapan. Setakat ini, jumlah kutipan keseluruhan tabung berkenaan telah mencecah kira-kira BND39,000.
Pihak Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid An-Na’im merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kumpulan Gloria Jeans serta para dermawan yang telah menghulurkan sumbangan bagi menjayakan usaha berkenaan.
Sumbangan tersebut bukan sahaja mencerminkan keprihatinan terhadap keperluan jemaah, malah menjadi satu bentuk amal jariah yang diharapkan terus memberikan manfaat kepada masyarakat.
Selain itu, atas amal kebajikan murni itu diharap semoga sumbangan dan usaha para dermawan berkenaan diterima Allah Subhanahu Wata’ala serta dikurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda.