Penolong Mufti hadiri Persidangan Antarabangsa Ke-11 Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa Sedunia

1 Sep 2026 - 6:23am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Mufti Kerajaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 31 Ogos. - Penolong Mufti (Ifta’), Dato Seri Setia Dr. Haji Dennie bin Haji Abdullah, hari ini bertolak ke Kaherah, Republik Arab Mesir bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Ke-11 Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa Sedunia (General Secretariat for Fatwa Authorities Worldwide), selaku wakil kepada Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.

Tema persidangan pada tahun ini ialah 'Cabaran Kekeluargaan dalam Menghadapi Transformasi Besar: Suatu pendekatan Kefatwaan bagi Melindungi Institusi Keluarga, Menjangkakan Masa Depannya serta Memelihara Identiti' dan akan bersidang selama dua hari bermula 2 sehingga 3 September 2026 di Kaherah, Republik Arab Mesir.

Turut mendampingi beliau ke persidangan tersebut ialah Pegawai Istinbat di Jabatan Mufti Kerajaan, Awang Haji Khairul Anwar bin Haji Muhammad.

Diadakan di bawah naungan Presiden Republik Arab Mesir, Tuan Yang Terutama Abdel Fattah El-Sisi, persidangan ini diadakan untuk membina asas pendekatan penyelesaian yang bersistematik dalam memahami perubahan cara kehidupan berkeluarga masa kini, dengan menggabungkan tiga aspek utama; iaitu analisis ilmiah yang tepat, sumbangan fatwa yang teratur dan pandangan jauh yang berorientasikan masa depan yang kukuh.

Diharapkan pendekatan tersebut dapat memperkukuhkan keupayaan institusi agama dan institusi fatwa dalam mengikuti perkembangan semasa, di samping memberikan jalan penyelesaian yang bertanggungjawab dan seimbang, demi memelihara kestabilan keluarga serta menyokong Maqasid Syariah.

Dihoskan oleh Dar al-Ifta Republik Arab Mesir, persidangan ini dijangka akan dihadiri oleh para cendekiawan, mufti-mufti dan penyelidik dari 80 buah negara. Kehadiran ke persidangan tersebut juga adalah atas jemputan Mufti Besar Republik Arab Mesir, Dr. Nazir Muhammad ‘Ayyad selaku Presiden Sekretariat Agung Penguatkuasa Fatwa Sedunia.