Pengemaskinian Alert List BDCB

1 Sep 2026 - 5:33am

Siaran Akhbar : Brunei Darussalam Central Bank

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 31 Ogos. – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) ingin memaklumkan orang ramai mengenai pengemaskinian Alert List BDCB.

Alert List BDCB merupakan senarai entiti-entiti (iaitu syarikat dan individu) yang tidak dilesenkan, dibenarkan atau dikawal selia oleh BDCB. Alert List ini dikeluarkan bagi meningkatkan kewaspadaan orang ramai dan mengelakkan salah tanggapan bahawa individu atau syarikat yang disenaraikan adalah dilesenkan, dibenarkan atau dikawal selia oleh BDCB. Senarai ini adalah tanpa prejudis kepada sebarang penilaian lanjut oleh BDCB terhadap aktiviti-aktiviti entiti berkenaan.

BDCB juga ingin memaklumkan orang ramai bahawa syarikat atau individu yang telah dimasukkan ke dalam Alert List BDCB ialah Goldpecker Community/HF Markets/HFM, jenis aktiviti ialah pelaburan.

Alert List BDCB yang telah dikemaskinikan boleh didapati di laman sesawang BDCB.

BDCB ingin menasihatkan orang ramai supaya hanya berurusan dengan institusi-institusi kewangan yang berlesen dan seterusnya, untuk berwaspada terhadap syarikat atau individu tidak berlesen yang menjalankan atau menawarkan perkhidmatan kewangan. Antara perkhidmatan-perkhidmatan kewangan di bawah bidang kuasa BDCB adalah pengiriman wang, penukaran wang, pinjaman wang dan perkhidmatan pajak gadai. Orang ramai juga diingatkan bahawa perlindungan di bawah rangka kerja penyeliaan BDCB tidak dapat diberikan kepada sesiapa yang memilih untuk berurusan dengan syarikat atau individu yang tidak dilesen atau dikawal selia.

BDCB juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap mana-mana individu atau entiti yang mendakwa mewakili, mempunyai kaitan dengan, atau bertindak bagi pihak BDCB, termasuk menggunakan nama, logo atau identiti rasmi BDCB tanpa kebenaran bagi tujuan meminta wang, maklumat peribadi atau penyertaan dalam skim kewangan.

Orang ramai juga boleh melayari laman web BDCB di www.bdcb.gov.bn atau Instagram BDCB @centralbank.brunei untuk maklumat lanjut mengenai bahaya entiti kewangan tidak berlesen serta cara-cara mengenal pasti penipuan kewangan.

BDCB akan terus mementingkan kestabilan kewangan Negara Brunei Darussalam dan mengutamakan perlindungan sistem kewangan dan kepentingan pengguna kewangan di Negara Brunei Darussalam. BDCB juga akan terus memantau sebarang aktiviti kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen di Negara Brunei Darussalam.

Jika orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti berkaitan kewangan yang mencurigakan atau tidak berlesen, sila hubungi BDCB melalui talian 2380007 / 8380007 dan e-mel fci@bdcb.gov.bn atau Talian Bantuan Anti-Penipuan di talian 16993.