Penerima Biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ zahir rasa kesyukuran

5 Sep 2026 - 5:37am

Oleh : Aimi Sani

Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 4 September. – Pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menyediakan pelbagai program bagi pembangunan kapasiti manusia untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035 ke arah rakyat berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya bagi mencapai taraf kehidupan yang berkualiti tinggi.

Dengan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) turut mengendalikan beberapa program pembangunan kapasiti manusia bagi melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi yang seterusnya akan berperanan terhadap kemajuan dan pembangunan negara seperti Skim Biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ YSHHB.

Syed Abd. Rahman bin Syed Azmal, lepasan Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Elektrik - Bachelor of Engineering (Electrical Engineering) di University of New South Wales, Sydney, Australia, ketika ditemui berkata bahawa beliau amat berminat untuk mendalami bidang tersebut.

Syed Abd. Rahman turut melahirkan harapan agar ilmu serta pengalaman yang bakal diperoleh melalui kursus tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjunjung titah Kebawah DYMM, seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara dan merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

Sementara itu, Dayang Farah Alyah binti Abdul Rahman, juga merupakan seorang lepasan JIS, yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perancangan Bandar dan Hartanah (BSc Urban Planning and Real Estate) di University College London, United Kingdom (UK) ketika ditemui menzahirkan rasa syukurnya, kerana terpilih menerima salah satu biasiswa yang berprestij tersebut.

Menurutnya, biasiswa berkenaan bukan sahaja merupakan satu penghargaan, malah turut disertai dengan kepercayaan dan tanggungjawab yang besar. Hal ini menjadi pendorong kepada beliau untuk memberikan usaha yang terbaik dalam pengajian.

Dayang Farah Alyah turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ibu bapa, rakan-rakan serta guru-guru yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan akademiknya.

Memandangkan kursus yang diikuti berkaitan dengan perancangan bandar, Dayang Farah Alyah berharap agar suatu hari nanti dapat membawa pulang pengalaman dan idea yang diperoleh sepanjang pengajian di UK untuk disumbangkan kepada pembangunan negara, khususnya dalam merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ YSHHB adalah merupakan biasiswa yang berprestij dan dianugerahkan kepada penuntut-penuntut yang telah dikenal pasti oleh YSHHB, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) sebagai penuntut yang cemerlang dalam bidang akademik dan kegiatan luar sekolah bagi melanjutkan pengajian mereka dari peringkat sarjana muda sehingga ke peringkat yang lebih tinggi dalam pelbagai bidang di institusi-institusi pengajian tinggi yang berprestij di luar negara yang dibenarkan oleh YSHHB dan diiktiraf oleh Kerajaan Kebawah DYMM.

Tujuan pemberian Biasiswa ‘Sultan’s Scholar’ adalah untuk melahirkan pemimpin yang cemerlang, menyumbang kepada pembangunan agama, sosial dan ekonomi negara serta menjadi generasi penerus yang akan membarisi tampuk kepimpinan bagi kepentingan agama, raja dan negara.