Oleh : Aimi Sani
Foto : Hernie Suliana Haji Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 September. - Keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Programme for International Student Assessment - PISA) 2025 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) di Paris, hari ini, melaporkan bahawa di peringkat global, Negara Brunei Darussalam (NBD) berada di kedudukan ke-46 bagi domain Sains, ke-42 bagi domain Matematik dan ke-41 bagi domain Membaca.
Di peringkat ASEAN, NBD berada dalam kedudukan tiga teratas bagi Matematik dan Sains, serta di tempat kedua bagi Membaca. Skor purata NBD di dalam domain utama iaitu Sains adalah 439. Manakala skor purata bagi Matematik ada 435 dan 426 dalam Membaca. Meskipun terdapat sedikit penurunan dari segi skor purata bagi semua domain, pihak OECD melaporkan bahawa perkara ini tidak signifikan dari segi statistik.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr. Dayang Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dalam Taklimat Media PISA 2025 bertempat di Bilik Persidangan 1, Kementerian Pendidikan, di sini.
“PISA yang bermaksud ialah satu penilaian berskala besar antarabangsa yang diiktiraf secara meluas dan dijalankan setiap tiga tahun oleh OECD. Sekitar 760,000 pelajar daripada 91 negara dan ekonomi telah turut serta dalam PISA 2025, sekali gus menjadikannya penyertaan PISA yang terbesar setakat ini.
“Bagi NBD, seramai 5,740 pelajar daripada 55 buah sekolah menengah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menyertai kajian PISA tersebut antara bulan April dan Mei 2025,” jelasnya.
Dr. Dayang Shamsiah Zuraini Kanchanawati seterusnya mengongsikan dalam PISA 2025, pencapaian membaca di NBD telah meningkat dengan ketara, meskipun keputusan membaca telah menurun di kebanyakan negara di seluruh dunia.
Malah, NBD adalah salah satu daripada empat buah negara yang menunjukkan trend peningkatan dalam kesemua domain (Sains, Matematik dan Membaca) antara PISA 2015 dan PISA 2025.
Dalam PISA 2025 tambahnya, satu penilaian baharu juga telah diperkenalkan dalam pusingan ini untuk menguji Computational Problem-Solving. Ia berfokus kepada penilaian keupayaan pelajar menyelesaikan masalah menggunakan alat perkomputeran melalui proses iteratif dan terkawal sendiri.
Beliau menjelaskan, dalam Computational Problem-Solving, NBD mencatatkan skor 496 iaitu empat mata di bawah purata OECD sebanyak 500. Pencapaian ini telah meletakkan NBD di kedudukan ke-32 di peringkat global.
Dalam pusingan ini ujarnya, OECD juga telah mengkaji penglibatan pelajar di sekolah. Bagi NBD, pelajar-pelajar telah dilaporkan mempunyai tahap penglibatan yang tinggi serta bersikap positif terhadap pembelajaran. Ini sekali gus meletakkan NBD di kedudukan ke-23 dalam kalangan 91 buah negara yang menyertai.
Kongsi beliau lagi, ini merupakan penyertaan kali ketiga NBD menyertai PISA, selepas penyertaan kali pertama pada tahun 2018. Melalui perbandingan keputusan di peringkat antarabangsa dan kajian perbandingan trend merentas tiga pusingan, penggubal dasar serta pendidik di NBD akan dapat mempelajari dasar dan amalan yang dilaksanakan oleh negara-negara lain.
“Kementerian Pendidikan akan terus mengkaji data ini dan berusaha untuk menyokong semua usaha dalam menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua. Kementerian Pendidikan menyifatkan prestasi pelajar yang memberangsangkan ini adalah hasil daripada usaha gigih para pendidik di negara ini dalam membantu semua pelajar mencapai potensi mereka sepenuhnya,” ujarnya.
Dengan dedikasi yang tinggi dan usaha gigih yang berterusan ini juga, sekolah-sekolah telah mencapai peningkatan yang luar biasa dan ini mengukuhkan lagi kedudukan negara khusus dalam pendidikan dan menjadikan pencapaian ini sebagai penanda aras negara yang baharu. Pencapaian ini adalah bukti hasil kerja keras, dedikasi dan pendekatan inovatif yang disambut baik oleh pelbagai pihak dan selaras ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Turut hadir semasa sesi taklimat tersebut ialah Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Awang Eddy Fazlin bin Haji Amdan dan Dr. Dayang Hajah Lilly Suzana binti Haji Shamsu serta Pemangku Pengarah Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan di Kementerian Pendidikan, Dayang Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee.